KENYATAAN MEDIA
ISU PINJAMAN LATIHAN KEMAHIRAN BELIA
MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) menyambut baik kenyataan Yang Berhormat M. Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia (KSM) mengenai jaminan beliau menyelesaikan isu pengangguhan kuota pinjaman latihan kemahiran oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang dilaporkan pelbagai media semalam.
Respon segera yang diberikan oleh beliau membuktikan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam mendengar suara dan pandangan MBM sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia yang sentiasa membela nasib dan masa depan belia termasuk belia berkemahiran.
MBM sedia maklum bahawa isu ketirisan dan penyelewangan yang berlaku di PTPK pada 2016 dan 2017 memerlukan KSM lebih berhati-hati agar tidak berulang lagi. Tindakan tegas terhadap kakitangan yang tidak berintegriti dan beramanah dalam melaksanakan tugas perlu dilakukan bagi memastikan golongan belia tidak teraniaya dengan perbuatan mereka.
Pada masa yang sama MBM turut menggesa pihak Penyedia Latihan (PL) yang terkesan dengan isu kuota pinjaman ini agar memastikan kualiti penyampaian latihan terus dipertingkatkan dan berada di tahap yang terbaik dalam memenuhi keperluan industri yang memerlukan tenaga kerja mahir di kalangan golongan belia.
Sikap segelintir penyedia latihan yang tamak dan sanggup mengamalkan pendekatan rasuah akan menyebabkan semua pihak menjadi mangsa. Penyedia latihan juga diminta untuk sentiasa bersama kerajaan dalam memartabatkan pembangunan belia berkemahiran kerana ketika ini pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) adalah suatu keperluan mendesak bagi Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Sekian terima kasih.
MOHAMMAD RIZAN HASSAN
KETUA PENERANGAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Tarikh : 9 Julai 2018
Telefon : (013) 7733676
Email : mdrizanhassan@gmail.com