MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kempen Perpaduan Daulat Negara: Misi Kemanusiaan ke Lahad Datu

Pada 12 Mac 2013, Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mewakili belia seluruh Malaysia menzahirkan rasa prihatin terhadap tragedi pencerobohan yang menimpa masyarakat di Lahad Datu sejak awal Mac lalu telah meneruskan ‘Kempen Perpaduan Daulat Negara’ dengan menghantar lima orang wakil dari MBM ke Lahad Datu untuk menyampaikan misi bantuan kepada penempatan-penempatan mangsa pencerobohan di Felda Sahabat, Lahad Datu. Wakil MBM yang diketuai oleh Sdra Muammar Ghadafi Datuk Jamaludin menjayakan misi bantuan kemanusiaan selama tiga hari ini dengan mengagihkan air mineral dan makanan kering ke tiga buah penempatan iaitu di Embara Budi, Fajar Harapan dan Cenderawasih. Turut mewakili MBM adalah Naib Presiden, Sdra Manndzri Nasib, Penolong Setiausaha Agung, Sdra Ahmad Saparudin Yusup dan exco, Sdra Mohammad Rizan Hassan. Kempen turut diteruskan dengan mengedarkan risalah Kempen Perpaduan Daulat Negara serta mengedarkan riben biru sebagai simbolik kepada warna perpaduan negara kepada premis-premis perniagaan sekitar Bandar Lahad Datu dan kepada masyarakat tempatan. Misi ini turut diisi dengan solat hajat di Surau Pangsapuri Mutiara Kasih bagi mendoakan keselamatan pejuang-pejuang negara dan keharmonian negara.

Misi kemanusiaan ini mendapat kerjasama daripada Gabungan Persatuan Belia Silam (GPBS) yang dipimpin oleh Puan Mizma Appehdullah. Seramai 20 orang sukarelawan dari GPBS bersama-sama turut serta dalam misi ini dan bersama-sama dengan wakil daripada MBM serta Datuk Akmal yang juga Setiausaha Akhbar YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak di dalam slot sembang belia yang diadakan di Dataran Kencana yang antara lainnya membincangkan tentang kepentingan kesahihan maklumat yang ingin disebarkan.

 

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »