MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kehilangan Adab Dalam Era Digital: Mengembalikan Kesopanan Berbahasa Dalam Kalangan Belia

Oleh :

Mohamad Hakimi Mohammad Haidzir

Guru Bahasa, Bahagian Bahasa Melayu

Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan

Universiti Sains Malaysia

Dalam landskap komunikasi moden yang pantas dan tidak terbatas, bahasa menjadi alat utama untuk menyampaikan pendapat, ekspresi dan identiti diri. Namun begitu, satu fenomena membimbangkan mula menular ialah hilangnya kesopanan dalam berbahasa dalam kalangan belia.

Sebagai contoh, media sosial, forum dalam talian dan platform komunikasi digital kini dipenuhi dengan kata-kata kasar, makian dan bahasa yang mencerminkan ketandusan nilai murni. Oleh itu, mengapakah fenomena ini berlaku, dan apakah kesannya terhadap pembentukan generasi muda sebagai pemimpin masa depan negara?

Bahasa bukan sekadar alat komunikasi akan tetapi juga cerminan nilai, budaya dan keperibadian seseorang. Budaya Melayu kaya dengan tatasusila, sopan santun dalam bertutur. Namun begitu, menurut kajian oleh Abas dan Abdul Manaf (2021), penggunaan kata-kata kesat dalam kalangan belia Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan terutama dalam media sosial. Antara faktor utama adalah pengaruh rakan sebaya, kebebasan bersuara yang tidak terkawal dan kekurangan kesedaran terhadap etika digital.

Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa kasar kini dianggap ‘biasa’ atau ‘lucu’ dalam sesetengah kelompok belia. Maki hamun digunakan bukan lagi sebagai ungkapan marah semata-mata tetapi sebagai bentuk perbualan harian. Fenomena ini menunjukkan satu bentuk normalisasi yang membentuk semula norma bahasa masyarakat muda kita. Menurut kajian oleh Ismail dan Azman (2020), remaja yang terdedah pada persekitaran komunikasi yang toksik cenderung untuk meniru gaya pertuturan tersebut sebagai satu bentuk penerimaan sosial. Malangnya, perkara ini membentuk budaya interaksi yang agresif dan tidak beradab.

Hal ini akan menyebabkan belia berisiko hilang nilai hormat dan empati dalam komunikasi. Kesannya bukan sahaja kepada hubungan interpersonal malah boleh menjejaskan imej dan integrity seseorang belia itu sendiri. Dalam konteks negara yang majmuk, bahasa yang kasar boleh mencetuskan salah faham dan konflik antara kaum, agama dan budaya. Selain itu, penggunaan bahasa kasar secara berleluasa juga menjejaskan imej negara apabila interaksi belia Malaysia pada peringkat antarabangsa tidak mencerminkan kehalusan budaya tempatan. Seperti yang dinyatakan oleh Mohd Salleh et al. (2022), pembentukan identiti nasional bergantung pada bagaimana bahasa dan adab ditransmisikan dalam kalangan generasi muda.

Sebagai pewaris masa depan negara, belia harus sedar peranan mereka dalam mengekalkan adab dalam komunikasi. Kesedaran ini perlu bermula daripada pendidikan keluarga, disokong oleh institusi pendidikan dan diperkuat melalui kempen kesedaran pada peringkat nasional. Penggunaan bahasa sopan bukanlah dianggap kolot namun satu bentuk kematangan dan jati diri yang tinggi. Majlis Belia Malaysia (MBM) boleh memainkan peranan sebagai platform utama untuk mempromosikan etika komunikasi berhemah dalam kalangan belia. Program seperti bengkel komunikasi sopan, kempen “Bahasa Kita, Wajah Kita” dan inisiatif ‘pempengaruh berhemah’ dalam media sosial boleh digerakkan bagi mengubahkan norma negatif ini.

Dalam era digital yang serba canggih ini, cabaran terbesar bukanlah pada teknologi itu sendiri, tetapi bagaimana kita menggunakan bahasa dengan beradab dan etika. Sudah tiba masanya belia Malaysia bangkit sebagai generasi yang bukan sahaja bijak dan kreatif tetapi juga beradab dan berhemah dalam pertuturan. Kerana dari lidah, tercerminlah bangsa.

Bertarikh : 9 September 2025

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »