Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bersetuju bertemu 41 persatuan yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM), bagi membincangkan isu pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.
Presiden MBM, Jufitri Joha, berkata persetujuan itu dicapai dalam pertemuan pihaknya dengan Faizal Azumu di pejabat menteri itu, hari ini.
Beliau berkata, MBM tidak ada halangan sekiranya KBS mahu melaksanakan had umur berkenaan, namun ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, memandangkan masih banyak persatuan belia masih kurang jelas berkenaan pelaksanaan dasar itu.
“Ini kerana sebelum ini, persatuan belia tidak diberi peluang berbincang dan bertemu dengan menteri untuk memberi idea bagi pelaksanaan had umur berkenaan.
“MBM mencadangkan pelaksanaan had umur belia memegang jawatan daripada 40 ke 30 ini, dilewatkan kepada 2023, supaya persatuan dapat membuat persiapan memantapkan jumlah ahli dan mengetengahkan ketua yang benar-benar berpotensi menerajuinya,” katanya selepas pertemuan itu, semalam.
Pertemuan di KBS itu turut disertai oleh Timbalan Presiden MBM, Muhd Fadzli Hasan dan Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun.
Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen, pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.
Susulan pengumuman itu, semalam seramai 60 peserta terdiri daripada ahli Gerakan Belia 4B Malaysia berhimpun di luar lobi utama KBS, menyerahkan memorandum bantahan terhadap penurunan had umur berkenaan.
Jufitri berkata, susulan pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit semalam, Ahmad Faizal bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan 41 wakil persatuan belia dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
Katanya, had umur itu perlu dikaji dan diberi masa terlebih dahulu kerana ada persatuan belia seperti Golongan Kurang Upaya (OKU) yang baharu ditubuhkan dan Persatuan Belia Orang Asli yang jumlah keahliannya perlu diperkukuhkan terlebih dahulu.
Katanya, untuk meningkatkan jumlah penyertaan belia Orang Asli menceburi persatuan juga berhadapan masalah, bagaimana sekiranya untuk memilih ketua atau merekrut ahli jawatankuasa di bawah usia 30 tahun untuk menggerakkan sesebuah persatuan.
Justeru katanya, KBS perlu berbincang bagi menyelesaikan masalah itu demi pembangunan belia sebelum melaksanakan had umur pada awal tahun depan.
Artikel penuh :