KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum kebimbangan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengenai kedudukan golongan belia berumur 30 hingga 40 tahun susulan penguatkuasaan Akta A1602.
KBS berkata, isu berkenaan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 November lalu dan Kabinet bersetuju supaya semua kementerian, jabatan serta agensi mengekalkan sokongan serta bantuan kepada kumpulan berkenaan.
“Pelaksanaan dan pemantauan bantuan itu akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KBS turut berkata, langkah ini selaras dengan aspirasi Model Pembangunan Belia MADANI 2030 bagi memastikan dasar dan program pembangunan belia bersifat inklusif dan mampu menjamin kesejahteraan golongan muda di negara ini.
Dalam pada itu, Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 telah berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin; Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid; serta EXCO dan wakil kerajaan negeri dari seluruh negara.
MPBN berperanan sebagai platform utama menghimpunkan pemimpin pertubuhan belia peringkat negeri dan kebangsaan bersama kementerian serta agensi Persekutuan.
Melalui platform itu, dasar dan program pembangunan belia dapat diselaraskan supaya suara golongan muda dibawa terus ke peringkat kerajaan.
Persidangan membincangkan tiga usul utama berkaitan keselamatan, kepimpinan, sosioekonomi dan kesejahteraan belia.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mewujudkan mekanisme aduan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi melindungi belia daripada penyalahgunaan kuasa, eksploitasi dan penderaan.
Usul intervensi awal bagi menangani risiko masalah sosial dan kesihatan dalam kalangan belia turut diketengahkan dengan penekanan terhadap pendidikan pencegahan dan pemantauan berkesan.
Selain itu, persidangan menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem pelapis kepimpinan belia melalui penyelarasan inisiatif kementerian, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
KBS berkata, penganjuran MPBN kali ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas ruang penyertaan belia terhadap isu semasa, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Pendekatan ini juga memperkukuh peranan belia sebagai pemacu kesejahteraan masyarakat sebagaimana digariskan dalam Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030),” katanya lagi.
Artikel penuh :