Majlis Belia Malaysia (MBM) dukacita dan kecewa dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mempertikaikan keputusan dan kewibawaan dibuat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin al-Mustafa Billah Shah di dalam isu pelantikan Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-15.
Kenyataan beliau tidak lain dan tidak bukan merupakan satu tindakan biadap serta cuba untuk mengheret institusi yang menjadi simbol utama negara ini ke dalam kancah politik selain untuk tujuan peribadi semata-mata.
Walaupun diingatkan berkali-kali, sebilangan aktor politik masih gemar bermain dengan sentimen yang boleh menimbulkan persepsi dan kekeliruan di kalangan rakyat khususnya terkait institusi beraja, perkauman mahupun agama (3R).
Oleh yang demikian, MBM menjunjung kasih ke atas titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dalam isu ini.
MBM mengingatkan kepada semua parti dan ahli politik untuk meletakkan batas jelas supaya tidak bermain dengan isu yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara dan menjunjung tinggi pada setiap masa kedudukan institusi Diraja selaras dengan Perlembagaan Negara serta prinsip Rukun Negara.
MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID
PRESIDEN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh : 19 Ogos 2024