Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Musim jerebu sosial di negara kita nampaknya masih belum surut. Saban hari ada saja api perkauman dipercikkan oleh individu yang sakit mental di sudut pentas ceramah atau ruang maya laman sosial. Hanya dengan sekeping gambar dan dan beberapa patah perkataan berbisa mampu menyemarakkan api kemarahan dan kebencian. Kesannya ialah asap hitam perkauman yang makin menebal dan menyesakkan.
Tidak selesai lagi isu pasangan celupar dan ghairah memaparkan aksi seks terlarang, kini muncul pula tayangan video yang memaparkan individu bobrok akal yang mencuci tiga anjing seolah-olah aksi mengambil wuduk berlatarbelakangkan takbir hari raya. Inilah hakikat pahit yang kita harus terima dan telan pada hari ini. Kerapuhan kerangka sosial masyarakat tidak dapat kita sembunyikan lagi di bawah lipatan permaidani indah lantai kehidupan kita.
Sejak berzaman segala habuk dan kotorannya kini terserlah dan menghasilkan bau hanyir yang memualkan. Ada yang menyatakan ini adalah hasil keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Namun, sebenarnya ia sudah lama menjadi barah.
Keadaan geopolitik sosial dengan sistem pendidikan negara yang terpisah-pisah meletakkan rakyat Malaysia dalam sebuah kerangka masyarakat yang amat rapuh. Bak kata pepatah ‘sedang retak menunggu belah’. Petaka hero kampung Suasana ini diburukkan lagi oleh perilaku sebilangan pemimpin politik dan NGO sama ada yang menyokong kerajaan atau pembangkang. Aksi bagaikan ‘hero kampung’ mereka amat memualkan dan mengundang petaka.
Dalam isu pelajar yang dikatakan makan dalam bilik persalinan di sebuah sekolah di Sungai Buluh, adalah amat tidak masuk akal apabila terdapat pemimpin politik serta badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat komen terbuka hanya berpandukan sekeping gambar serta catatan yang belum disahkan faktanya.
Setiap aksi ini menimbulkan pula pelbagai aksi yang akhirnya terkeluar daripada pokok persoalan sebenar kejadian. Penulis tertanya-tanya sampai bilakah semua orang mampu keluar daripada kongkongan cauvinisme dan berperilaku berpandukan akal bernas serta emosi sederhana.
Masih ramai pemimpin mengaku bersifat kebangsaan dan ingin diiktiraf sebagai tokoh nasional, namun tindakannya hanya dilihat tegas dan berlebih-lebih kepada isu berkaitan dengan sesuatu kaum atau mungkin isu itu mampu memberikan faedah kepada parti dipimpinnya.
Satu proses bedah siasat perlu dibuat segera. Segala punca dan formula baru penyatuan nasional mesti segera dicari. Jangan sekadar bersifat ‘kulit-kulitan’ dan berpuas hati melihat rakyat kita mampu menari di atas pentas Malam Citrawarna dengan pakaian tradisional pelbagai kaum sedangkan hati dan jiwanya belum tersimpul mati.
Masa untuk bertindak Gesaan Perdana Menteri yang mahukan satu usaha ‘National Reconciliation’ harus diteliti dan diambil tindakan segera. Kini adalah masa untuk semua pihak bertindak.
Penulis sarankan agar pihak kerajaan jangan lagi memberi muka kepada individu yang jelas cenderung memainkan api sensitiviti kaum. Setiap parti komponen harus berani menonjolkan tokoh pemimpin yang bersifat sederhana dan memahami aspirasi nasional.
Masyarakat keseluruhan harus bangkit bersuara. Kita mesti berani menegur individu atau kumpulan yang secara terbuka memainkan api perkauman. Kebetulannya dalam suasana menjelang pemilihan kepemimpinan beberapa parti komponen Barisan Nasional seperti UMNO, MCA, MIC dan PBB pada hujung tahun ini, penulis fikir adalah saat paling sesuai untuk parti besar ini mendepani usaha membina pelapis kepemimpinan masa hadapan negara ini.
Kenal pasti ahli berwibawa yang mampu mengurus perbezaan dan mengawal konflik. Dalam memperjuangkan sesuatu tuntutan kaum haruslah dalam ruang lingkup kefahaman nasional. Tegur mereka dan pinggirkan jika mereka masih berdegil. Penulis amat yakin peruntukan undang-undang sedia ada untuk menyumbat petualang seperti ini ke dalam penjara. Jangan lagi pandang ke belakang. Terimalah hakikat kita pernah bersifat terlalu lemah dan berpilih-pilih dalam membuat keputusan sewaktu menangani isu sebegini pada masa lalu. Zaman sekadar memberi amaran dan melaksanakan permainan ‘tangkap dan lepas’ sudah berlalu.
Diumpamakan merawat penyakit barah, anggota yang rosak harus dipotong dan dibuang agar ia tidak terus menjejaskan keseluruhan sistem tubuh badan seseorang. Usaha membina semula masyarakat memerlukan kejujuran dan komitmen semua pihak yang benar-benar sayangkan tanah air tercinta ini.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janganberimukapadapencetuskebencian/MA/Article/index_html