MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jalur Gemilang terbalik: Sebarang alasan tak boleh diterima sama sekali -MBM

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap insiden negatif membabitkan Jalur Gemilang kali ini mesti dilakukan dengan lebih keras, menyeluruh dan tanpa kompromi.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam kenyataan berkata, perbuatan biadab sebegitu bukan sahaja mencemar sambutan kemerdekaan, malah menconteng arang kepada perjuangan nenek moyang yang mengorbankan darah dan nyawa demi kemerdekaan negara.

Insiden seumpama itu juga katanya dilihat sebagai sengaja dilakukan saban tahun menjelang sambutan kemerdekaan.

Ketua Penerangan MBM, Mohd Syafiq Ridzwan Jamaludin berkata, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, kehormatan, dan identiti negara yang merupakan perkara asas yang mustahil untuk mana-mana pihak, khususnya warganegara Malaysia untuk tidak faham atau keliru.

Sebarang alasan yang cuba meremehkan atau menjustifikasikan perbuatan tersebut adalah tidak boleh diterima sama sekali.

 “Tindakan tegas ini bukan sahaja untuk mempertahankan maruah Jalur Gemilang, malah untuk memastikan generasi muda mempelajari bahawa menghormati simbol negara adalah tanggungjawab bersama.

“MBM tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan negara dan menuntut agar undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambanhya, MBM melalui inisiatif Reach Out Komuniti Rakan Ekspresi akan menggerakkan Kempen Semarak Kemerdekaan sempena Bulan Kebangsaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma di kawasan terpilih di seluruh negara sepanjang Ogos dan September.

Inisiatif tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan mendidik belia untuk mencintai Jalur Gemilang. -MalaysiaGazette

Artikel penuh :

https://malaysiagazette.com/2025/08/11/jalur-gemilang-terbalik-sebarang-alasan-tak-boleh-diterima-sama-sekali-mbm

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »