MAJLIS BELIA MALAYSIA

INSIDEN JALUR GEMILANG: SIASAT DAN TINDAKAN TEGAS AGAR MENJADI PENGAJARAN UNTUK SEMUA. ELAK PROVOKASI MENGHINA NEGARA.

Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius beberapa perkembangan mutakhir berkaitan isu penghinaan, pengibaran dan penggunaan tidak wajar terhadap Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang. MBM mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, serta menegaskan bahawa siasatan kali ini mesti dilakukan dengan lebih keras, menyeluruh, dan tanpa kompromi.

Lebih mendukacitakan, insiden ini berlaku ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan ke-68, tatkala Jalur Gemilang sepatutnya dikibarkan dengan penuh kebanggaan dan rasa syukur. Perbuatan biadab sebegini bukan sahaja mencemar sambutan kemerdekaan, malah menconteng arang kepada perjuangan nenek moyang yang mengorbankan darah dan nyawa demi kemerdekaan negara. Insiden seumpama ini juga dilihat sebagai sengaja dilakukan saban tahun menjelang sambutan kemerdekaan.

Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, kehormatan, dan identiti negara. Ia merupakan perkara asas yang mustahil untuk mana-mana pihak, khususnya warganegara Malaysia untuk tidak faham atau keliru. Sebarang alasan yang cuba meremehkan atau menjustifikasikan perbuatan tersebut adalah tidak boleh diterima sama sekali.

MBM menegaskan bahawa kesalahan menghina atau mempamerkan Jalur Gemilang secara salah adalah satu pelanggaran serius di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta peraturan-peraturan berkaitan bendera negara. Hukuman sewajarnya perlu dikenakan, termasuk denda maksimum atau hukuman penjara, sebagai pengajaran agar insiden sebegini tidak berulang.

Tindakan tegas ini bukan sahaja untuk mempertahankan maruah Jalur Gemilang, malah untuk memastikan generasi muda mempelajari bahawa menghormati simbol negara adalah tanggungjawab bersama. MBM tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan negara dan menuntut agar undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya.

Melalui inisiatif Reach Out Komuniti Rakan Ekspresi, MBM akan menggerakkan Kempen Semarak Kemerdekaan sempena Bulan Kebangsaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma di kawasan terpilih di seluruh negara sepanjang Ogos dan September. Inisiatif ini bertujuan memupuk semangat patriotisme dan mendidik belia untuk mencintai Jalur Gemilang.

MOHD SYAFIQ RIDZWAN JAMALUDIN

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 11 Ogos 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »