MAJLIS BELIA MALAYSIA

Inisiatif deposit Madani bantu belia miliki rumah pertama

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkenalkan inisiatif deposit Madani dengan nilai maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah pertama adalah langkah positif dan strategik untuk membantu belia memiliki rumah pertama.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata dari sudut ekonomi, inisiatif itu boleh memberi impak signifikan terhadap kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia.

Ini kerana katanya, berdasarkan statistik terkini dari Bank Negara Malaysia (BNM), kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah dengan anggaran sekitar 35 peratus.

“Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kos permulaan yang tinggi, termasuk deposit pembelian rumah.

“Oleh itu, dengan menyediakan bantuan deposit sehingga RM30,000, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama.

“Ini akan meningkatkan kemampuan belia untuk membeli rumah, seterusnya membantu mengurangkan jurang pemilikan rumah yang wujud antara golongan belia dan kumpulan umur lain,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, media melaporkan inisiatif deposit Madani sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

KPKT bercadang melaksanakan pemberian deposit itu selaras dengan dasar kerajaan ‘Rumahku, Syurgaku’.

Menterinya, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata inisiatif itu bertujuan meringankan bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40 serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal.

Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, dari segi ekonomi makro, inisiatif itu dijangka dapat merancakkan lagi pasaran hartanah negara dengan meningkatkan permintaan terhadap rumah.

Katanya, peningkatan itu boleh memberi kesan positif kepada industri pembinaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, keberkesanan inisiatif itu memerlukan pelaksanaan yang teliti dan menyeluruh termasuk pemantauan rapi untuk memastikan golongan sasaran layak, mendapat manfaatnya.

Selain itu katanya, terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa inisiatif itu tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak yang boleh membebankan pembeli.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, beberapa negara telah memperkenalkan inisiatif seumpama ini dengan kejayaan yang berbeza-beza.

“Sebagai contoh di Australia terdapat Skim Deposit Rumah Pertama membolehkan pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman perumahan dengan deposit yang lebih rendah sekitar lima peratus tanpa perlu membayar insurans pinjaman perumahan.

“Skim ini telah membantu ramai individu memiliki rumah pertama mereka, namun kritikan juga muncul apabila harga rumah terus meningkat, menyebabkan pembeli masih menghadapi kesukaran walaupun dengan bantuan deposit,” katanya.

Justeru katanya, walaupun inisiatif itu boleh meningkatkan kadar pemilikan rumah, ia juga berpotensi mendorong kenaikan harga rumah dalam jangka panjang.

Katanya, apabila permintaan meningkat akibat daripada bantuan kewangan yang disediakan, ia boleh menyebabkan pembangun hartanah menaikkan harga rumah, sekali gus mengurangkan keberkesanan inisiatif ini.

Selain itu katanya, walaupun inisiatif itu membantu dari segi deposit, golongan belia masih perlu berdepan dengan bayaran bulanan pinjaman perumahan yang mungkin tinggi.

“Jika tidak diimbangi dengan pendapatan yang stabil dan mencukupi, ini boleh membawa kepada tekanan kewangan jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, inisiatif deposit Madani berpotensi memberi kesan positif yang signifikan kepada pembeli rumah pertama di Malaysia, terutama jika ia diuruskan dengan baik dan tidak menyebabkan kesan sampingan seperti kenaikan harga rumah yang berlebihan.

Artikel penuh :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1288376/inisiatif-deposit-madani-bantu-belia-miliki-rumah-pertama

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »