SERI KEMBANGAN 7 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perpaduan yang berlangsung penuh harmoni di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan dengan kehadiran kira-kira 110 orang kepimpinan belia serta rakan strategik dari pelbagai latar belakang.
Majlis ini menghimpunkan barisan kepimpinan MBM termasuk Exco-Exco MBM, Ahli Dewan Tertinggi MBM serta kepimpinan badan-badan gabungan MBM daripada pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang gerakan belia negara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah rakan strategik MBM antaranya Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN); Encik Uzaini Mohamad Sani, Pengarah Cawangan Pembangunan Sosial JBSN; kepimpinan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI); Presiden Belia MAHIR, Sdr. Rizan Hasan; wakil TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), EON Berhad, Akademi Kenegaraan Malaysia serta beberapa organisasi lain.
Pada majlis yang sama, para hadirin turut diberikan taklimat mengenai inisiatif ‘Mentor Belia’ Rakan Muda yang disampaikan oleh Encik Mu’azamir Hj Jili, Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Bahagian Pembangunan Rakan Muda.
Taklimat tersebut memberi penerangan mengenai usaha memperkasa potensi generasi muda melalui pendekatan bimbingan dan pembangunan kepimpinan belia yang lebih tersusun.
Presiden MBM, Izzat Afifi, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran semua tetamu serta menyifatkan majlis ini sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang selama ini bersama-sama MBM dalam menjayakan pelbagai agenda pembangunan belia.
Menurut beliau, jalinan kerjasama yang erat antara MBM dengan agensi kerajaan, organisasi belia serta rakan strategik dari dalam dan luar negara amat penting bagi memperkukuh usaha memperkasa generasi muda.
Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan ukhuwah dan jaringan kerjasama, malah mencerminkan komitmen berterusan MBM dalam menyatukan kepimpinan belia pelbagai latar belakang demi masa depan pembangunan belia negara yang lebih progresif dan inklusif.































