Beliau dipukul sehingga mati semasa ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba. Tidak pasti apa yang difikirkan si pelaku sehingga bertindak begitu kejam.

Di sebalik berita kematian wira negara ini, terdapat seorang individu yang menjadi sasaran masyarakat terutama netizen iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy. Beliau dikatakan memberi kenyataan yang tidak bertanggungjawab dengan menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani insiden di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Akibatnya, isu yang pada mulanya hanya melibatkan antara dua pihak iaitu pentadbir kuil berkenaan dan pemaju telah dilihat sebagai satu isu perkauman di mata masyarakat.

Sebelum insiden ini, Waytha Moorthy juga telah mengeluarkan kenyataan yang jelas bersifat perkauman serta memberi fakta yang salah mengenai kaum India di Malaysia. Terdapat rakaman video yang membuktikan beliau mewakili Malaysia di sebuah persidangan antarabangsa dan telah menggambarkan masyarakat India di negara ini ditindas.

Justeru, kedudukan Waytha Moorthy dalam barisan kepemimpinan negara wajar dipertimbangkan. Beliau dilihat sebagai individu yang cetek sejarah dan gagal menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Negara kita ditubuhkan secara aman tanpa berlaku peperangan atau pemberontakan sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Negara kita ditubuhkan melalui semangat perpaduan yang melahirkan semangat toleransi antara kaum dan kepercayaan beragama.

Malaysia adalah sebuah negara beraja yang berasaskan demokrasi berparlimen. Ia bukan sebuah negara sekular. Kita semua daripada keturunan Melayu, Cina dan India sudah menjadi bangsa Malaysia.

Ramai anak muda pada hari ini mulai lupa kepada sejarah negara dan bangsanya sendiri. Mereka kurang mengetahui bagaimana negara kita ini ditubuhkan. Oleh sebab itu, mereka mudah terpengaruh dengan sesetengah pihak yang memberi maklumat kurang tepat tentang fakta sejarah negara kita.

Sesungguhnya, peristiwa berdarah yang berlaku akibat pergeseran antara kaum amat dikesali dan mesti diingati sepanjang zaman agar dapat dijadikan iktibar dalam setiap tindakan kita pada masa akan datang.

WAN MOHD. HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan 
Majlis Belia Malaysia (MBM)