MAJLIS BELIA MALAYSIA

Harapan belia untuk Belanjawan 2025

Menjelang seminggu sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024 nanti, Majlis Belia Malaysia (MBM) yakin Belanjawan 2025 ini pastinya akan memberikan tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi akan terus berkembang selaras dengan kerangka Ekonomi Madani yang diangkat oleh kerajaan ketika ini.

Sebagai pertubuhan induk pergerakan belia Malaysia dan mewakili suara belia di Malaysia, MBM melalui beberapa pertemuan, dialog dan libat urus bersama belia di akar umbi melalui program Reach Out MBM juga melalui pertemuan yang telah diadakan bersama Kementerian Kewangan pada 2 Ogos 2024 dan Kementerian Belia dan Sukan pada 23 Ogos 2024 telah menghimpunkan harapan dan cadangan dari belia untuk dipertimbang seterusnya dimasukkan dalam Belanjawan 2025 ini meliputi;

Pendidikan

1. Tambahan peruntukan untuk Tabung Pembangunan Kemahiran. Kerajaan telah mengumumkan peruntukan besar untuk pembangunan TVET dalam negara. Oleh hal yang demikian, tabung pinjaman untuk kemahiran melalui Tabung Pembangunan Kemahiran juga perlu selaras dengan peruntukan besar untuk TVET. Untuk 2023 dan 2024, RM180 juta diperuntukkan untuk Tabung Pinjaman Kemahiran namun perlu ditambah bagi menyokong inisiatif TVET yang sedang giat dilaksanakan kerajaan;

2. Penambahan kelas prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak milik kerajaan. Terkini, prasekolah swasta mendahului prasekolah milik kerajaan (2023) dan kos yang perlu ditanggung ibu bapa muda pastinya membebankan;

3. Pelepasan cukai bagi pendidikan dan penjagaan kanak-kanak dari RM3,000.00 kepada RM5,000.00;

4. Mengembalikan program peranti percuma kepada pelajar dan mahasiswa B40 dan M40 agar kesenjangan antara murid dapat dikurangkan; dan

5. Penambahan kelas bagi Kolej Vokasional bagi menampung keperluan TVET di dalam negara. Buat masa ini, hanya 20,822 penempatan dapat dipenuhi berbanding 68,671 permohonan yang diterima.

Pembangunan Belia

1. Penambahan dana bagi program Rakan Muda. RM20 juta yang diperuntukkan untuk tahun 2024 tidak mencukupi untuk menggerakkan 9.6 juta belia Malaysia yang berusia 15-30 tahun;

2. Dana khas bagi pertubuhan belia untuk melaksanakan program transisi menghadapi perubahan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang menurunkan had umur belia dari 15-40 tahun kepada 15-30 tahun bermula 2026;

3. Mewujudkan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Hadapan bagi memastikan pembangunan mampan negara serta selaras dengan dokumen Pact of the Future yang telah dipersetujui Malaysia di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); dan

4. Mengembalikan inisiatif RM500 kepada belia yang terlibat di dalam program kesukarelaan dan memperluaskan umur dari 18-20 kepada 18-30 tahun.

Perumahan

1. Projek Perumahan Transit untuk belia khususnya di Lembah Klang harus dikembalikan.

Ekonomi

1. Meluaskan program Sejati Madani kepada pertubuhan belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat di peringkat akar umbi;

2. Latihan ke arah peralihan ke ekonomi digital dipergiatkan dan diperluaskan khususnya kepada belia di luar bandar; dan

3. Dana khas untuk melahirkan lebih ramai tekno-Usahawan di kalangan belia.

Kesihatan

1. Peruntukan bagi program-program kesihatan mental khusus untuk belia; dan

2. Peruntukan bagi melaksanakan program-program kesihatan bagi mengatasi masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia yang terbukti tertinggi di Asia dan antara tertinggi di dunia.

Pekerjaan

1. Penubuhan dengan kadar segera Suruhanjaya Pekerja Gig yang telah diumumkan sebelum ini. Ini termasuklah mewujudkan segera Akta khusus bagi melindungi pekerja didalam ekonomi gig; dan

2. Latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran (reskill & upskill) khusus terkait ekonomi hijau selaras untuk mempersediakan belia dan anak muda ke arah pekerjaan kalis masa hadapan.

Sukan

1. Membina stadium e-sukan bagi mempergiatkan promosi e-sukan dan persiapan temasya sukan antarabangsa;

2. Memperluaskan dan mempromosikan e-sukan di dalam TVET dan sebagai industri yang lebih luas;

3. ⁠Menambah baik dan memberbanyakkan fasiliti sukan dan rekreasi untuk warga belia dan orang ramai bagi menggalakkan warga belia aktif menjalani aktiviti ke arah hidup sihat dan sejahtera; dan

4. ⁠Menambah baik ekosistem sukan dengan inisiatif penggalakkan dan pembangunan sukan dan badan sukan dengan lebih kompetetif dalam agenda industri sukan.

Alam Sekitar

1. Program pemerkasaan belia di dalam pendidikan alam sekitar dan daya tahan bencana;

2. Dana khas bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan berkaitan alam sekitar dan darurat iklim; dan

3. Dana dan geran program peringkat komuniti berkaitan pembangunan mampan.

MBM sentiasa berharap agar setiap perancangan pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan pembangunan negara berlaku secara efisien dan inklusif.

MBM akan terus mendokong segala inisiatif yang memberi kebaikan kepada warga belia dan menjadikan pembangunan belia dan orang muda sebagai tunjang utama pembangunan negara.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 11 Oktober 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »