MAJLIS BELIA MALAYSIA

Hadiah PMX sempena Hari Belia

Oleh :

Mohd Fauzi Hj. Fadzil

Exco Majlis Belia Malaysia / Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan

Sambutan Hari Belia Negara (HBN) pada tahun ini sangat bermakna bagi golongan belia apabila buat pertama kali selepas suatu tempoh yang panjang, akhirnya Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai payung yang mewakili suara belia di Malaysia diberikan hak dan tanggungjawab untuk menguruskan perjalanan sambutan HBN peringkat kebangsaan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN). HBN pada tahun ini disambut pada tanggal 28 Mei 2023 bertempat di Port Dickson. Kejayaan penganjuran ini mendapat pujian daripada PMX, malah PMX mahu kejayaan MBM menganjurkan HBN menjadi contoh kepada kementerian lain untuk menyerahkan sambutan perayaan tertentu kepada masyarakat sivil yang mewakili golongan yang pelbagai di Malaysia (seperti guru, ibu, wanita, OKU dan bapa).

Sambutan HBN di Malaysia merupakan sebuah perjuangan panjang yang turut melibatkan PMX semasa beliau menjadi Presiden MBM, antara tuntutan PMX semasa mengemudi teraju MBM adalah supaya Perdana Menteri pada waktu tersebut iaitu Tun Abdul Razak Dato’ Hussein mengiktiraf kedudukan belia melalui penetapan 15 Mei setiap tahun sebagai Hari Belia Negara (disamping menuntut penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara yang kekal berfungsi sehingga sekarang). PMX mengakui kepimpinan MBM semasa zaman beliau menerajui MBM adalah jauh lebih muda berbanding sekarang, PMX mengemudi MBM sekitar umur 26 tahun manakala kepimpinan utama MBM pada hari ini berumur di atas 30 tahun. Namun usia kepimpinan MBM yang lebih matang pada hari ini mendapat pujian PMX kerana lebih bersedia untuk berhadapan dan bersuara dalam isu melibatkan pembangunan negara.

Sempena sambutan HBN 2023, PMX telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 Juta kepada MBM bagi membantu menampung kos operasi dan aktiviti yang diperlukan. Pengumuman PMX ini merupakan langkah positif kearah hubungan yang lebih erat antara MBM dengan Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan negara. Sikap PMX dilihat lebih lunak dan diplomatik berbanding sikap bersengketa yang pernah diamalkan oleh mantan Menteri Belia dan Sukan iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap MBM. Akibat sikap bersengketa tersebut maka Pembangunan Belia di Malaysia tergendala sekitar tahun 2018 hingga awal 2020 kerana dua pemegang taruhnya (MBM-KBS) tidak bergerak secara seiringan. Hadiah PMX ini sebagai simbol perakuan terhadap peranan penting MBM dalam membangunkan belia di Malaysia, justeru kemandirian MBM perlu terus terpelihara demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Pada akhir ucapan PMX, beliau mengingatkan golongan belia agar menjauhi perangkap perkauman ekstrim yang boleh memecah-belahkan negara tercinta ini. PMX mengakui bahawa pengalaman beliau bersama MBM yang mempunyai latarbelakang yang pelbagai menyebabkan beliau berfikiran terbuka dan mampu menerima perbezaan agama dan budaya yang sedia wujud di Malaysia. Golongan belia pada hari ini harus mempunyai kerangka pemikiran yang sama di mana perbezaan antara individu tidak harus dijadikan sebab untuk mewujudkan permusuhan. Justeru penyertaan golongan belia dalam pertubuhan belia yang bernaung di bawah MBM adalah sangat digalakkan bagi memastikan sebuah masyarakat majmuk yang aman dapat dikekal dalam konteks Malaysia.

Bertarikh : 30 Mei 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »