KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mendakwa ketetapan had usia 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan bakal menyaksikan 90 peratus pertubuhan belia berisiko dibatalkan kerana gagal mematuhi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata pihaknya dan sebahagian besar pertubuhan belia mengakui bimbang tidak dapat memenuhi permintaan itu.
Katanya, ini kerana kira-kira 10 peratus sahaja dari 8,272 pertubuhan belia seluruh negara yang selesai meminda perlembagaan pertubuhan masing masing seperti yang diminta, manakala hanya 54 peratus sahaja kepemimpinan pertubuhan belia adalah mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.
“Apakah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sanggup melihat pada 1 Januari 2026 nanti 90 peratus pertubuhan belia dibatalkan hanya kerana tidak mematuhi kehendak akta?
“Peratusan yang disebut di atas juga bukti jelas transisi memerlukan masa yang mencukupi untuk dilaksanakan,” katanya kepada BH.
Semalam media melaporkan, kerajaan menegaskan ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan A1602.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dilaporkan berkata keputusan itu kekal meskipun ada kebimbangan dan permintaan daripada beberapa pertubuhan belia supaya pelaksanaannya ditangguhkan.
Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, MBM juga bimbang dengan kelangsungan pertubuhan belia khususnya di kawasan pedalaman, luar bandar mahu pun daerah terpencil.
“Kita risau akibat pelaksanaan yang tergopoh gopoh, pertubuhan belia ini akan mati khususnya di peringkat akar umbi ini.
“Kesannya begitu besar kerana mati sahaja pertubuhan belia di akar umbi, apa lagi yang belia di akar umbi, di kampung dan belia di luar bandar boleh dilibatkan?
“Jadi kesan dan implikasi sosial kepada pembangunan belia begitu besar kalau ia benar benar terjadi,” katanya.
Selain itu beliau mendakwa, kerajaan seperti masih belum mempunyai dasar untuk belia dewasa yang berusia 30 hingga 40 tahun yang selepas ini tidak lagi dikategorikan sebagai belia.
Ini kerana katanya, kira-kira lima hingga enam juta rakyat Malaysia yang mungkin selama ini berpeluang menikmati bantuan dan sokongan kerajaan sebagai belia tidak lagi berpeluang untuk mendapat bantuan seperti dahulu.
“Geran dan bantuan seperti bantuan perumahan belia, geran perniagaan tidak lagi boleh dinikmati oleh belia dewasa berusia 30 hingga 40 tahun selepas ini sedangkan kita tahu banyak lagi belia kategori ini yang masih memerlukan bantuan.
“Tiada hala tuju yang jelas kepada belia kelompok ini juga menunjukkan ketidaksediaan kerajaan dalam melaksanakan transisi ini.
“Jadi kesan had umur ini sebenarnya bukan sahaja terkesan kepada pertubuhan belia tapi kepada belia secara keseluruhannya dan nampaknya ekosistem yang ada pada ketika ini tidak lagi mendokong kepada hasrat murni kerajaan ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, MBM dan pertubuhan belia tidak menolak akta berkenaan tetapi memohon supaya tarikh pelaksanaannya harus dianjak dan lebih fleksibel supaya transisi itu berlaku dengan lebih baik dan tersusun.
Sementara itu, Presiden Persatuan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery mempunyai pandangan berbeza apabila menyokong tindakan kerajaan yang membuat ketetapan usia 30 tahun bagi belia di negara ini berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan sudah memberikan masa yang secukupnya kepada persatuan untuk membuat persediaan sebelum ini.
“Untuk menjadikan sebuah negara itu maju, perlu menjalankan persiapan awal untuk menjadi pemimpin jadi ini cabaran yang perlu dihadapi.
“Jadi tidak perlu jadikan sebarang alasan seperti kurang persediaan kerana saya percaya sebaliknya ia untuk kepentingan peribadi semata-mata,” katanya.
Selain itu katanya, usia sedemikian juga sesuai untuk memimpin belia masa sekarang yang lebih kehadapan seiring peredaran zaman.
Artikel penuh :