MAJLIS BELIA MALAYSIA

Had umur belia: ‘Kenyataan Hannah Yeoh tak cerminkan realiti semasa’ – MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya membuat ‘pusingan U’ dalam pendirian berhubung isu pelaksanaan had umur belia 30 tahun mulai 1 Januari 2026.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, menyifatkan dakwaan itu sebagaimana kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada sidang Dewan Rakyat, semalam, adalah tidak tepat serta tidak mencerminkan realiti semasa dihadapi ribuan pertubuhan belia di seluruh negara.

“Sejak awal, MBM berpendirian sebarang usaha penstrukturan semula landskap kepimpinan belia berlandaskan Akta 668, perlulah dilaksanakan secara berfasa, berstrategi serta dengan bantuan dana khusus, dengan mengambil kira impak langsung terhadap struktur kepimpinan akar umbi dan kesinambungan program sedia ada.

“Sebagai rekod, dana transisi RM1.5 juta yang dinyatakan ketika jawapan lisan Menteri Belia dan Sukan di Dewan Rakyat adalah tidak tepat.

“Tiada peruntukan khusus bagi program transisi kepimpinan belia daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada MBM serta badan gabungan,” dakwanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Izzat juga mendakwa, MBM hanya menerima dana pentadbiran serta peruntukan Rakan Muda yang khusus bagi pelaksanaan program bawah 10 Gaya Hidup Rakan Muda.

Justeru, beliau mendakwa kenyataan Hannah itu boleh dianggap sebagai mengelirukan Dewan Rakyat.

“Hingga kini, MBM hanya menggunakan peruntukan khas YAB Perdana Menteri sebanyak RM1.5 juta daripada RM3 juta yang diumumkan bagi pelaksanaan program transisi kepimpinan belia di seluruh negara.

“MBM juga ingin menggariskan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Transisi Umur Belia MBM-KBS yang sepatutnya menjadi platform utama rundingan dasar dan pemantauan pelaksanaan had umur belia, hanya dilakukan pada 20 Februari 2023 (kali pertama) dan 20 September 2024 (kali ke-2),” dakwanya lagi.

Mohd Izzat memaklumkan bahawa selepas itu, tiada lagi kesinambungan perbincangan rasmi dilakukan pasca dua mesyuarat berkenaan.

“MBM meminta pelaksanaan penuh had umur belia pada 1 Januari 2026 diteliti semula, bukanlah untuk menolak dasar itu tetapi demi memastikan kestabilan organisasi belia serta kelangsungan program yang sedang berjalan.

“Tanpa mekanisme transisi yang tersusun dan tuntas, terdapat risiko besar terhadap kesinambungan kepimpinan, pengurusan dana serta keupayaan pertubuhan belia untuk melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa,” katanya.

Semalam, Hannah pada sidang Dewan Rakyat berkata, pemimpin belia yang melebihi umur 30 tahun selepas tarikh had umur belia berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, boleh terus memegang jawatan hingga mesyuarat agung pemilihan baharu pertubuhan diadakan.

Hannah dilaporkan berkata, pemimpin belia terbabit bagaimanapun tidak boleh dicalonkan semula sebagaimana peruntukan Seksyen 6 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

Artikel penuh :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1423391/had-umur-belia-kenyataan-hannah-yeoh-tak-cerminkan-realiti-semasa

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »