MAJLIS BELIA MALAYSIA

Had umur belia 30 tahun tak sesuai – ABIM

PUTRAJAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan pindaan had umur belia kepada mereka yang berusia bawah 30 tahun, dibuat secara tergesa-gesa.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berpendapat ia akan menjejaskan pertubuhan belia termasuk dalam pengurusan institusi serta aset.

Katanya, lingkungan usia belia bawah 30 tahun dianggap masih berada dalam fasa membina kerjaya, keluarga dan kehidupan masing-masing.

Sebaliknya beliau berkata, lingkungan usia 35 tahun dilihat agak realistik dengan mengambil kira demografik petugas belia yang berkhidmat secara sepenuh masa bagi menggerakkan pertubuhan itu di seluruh negara.

“Penetapan had umur belia secara tergesa-gesa ini bukan saja mematikan aktivisme belia, sebaliknya turut memberi kesan kepada proses pembinaan negara.

“Sekiranya Kementerian Belia dan Sukan ingin meneruskan penguatkuasaan had umur belia bawah 30 tahun, ABIM menggesa supaya pertubuhan belia sedia ada diberi pilihan untuk terus bergerak tanpa terikat dengan had umur di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

“Sebaliknya pertubuhan belia perlu dibenarkan untuk berpindah dan didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu berkenaan mula tercetus ketika menteri era kerajaan Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 pada tahun 2019.

Namun, cadangan itu dibantah keras pelbagai organisasi belia tempatan kerana had usia itu diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun berbanding cadangan asalnya hanya setakat 35 tahun.

Cadangan berkenaan tidak dilaksanakan ketika kementerian itu diterajui Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun, dalam sidang Parlimen Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, sekiranya had usia berkenaan dilaksanakan, ABIM khuatir ia akan terus berubah-ubah pada masa akan datang yang mengakibatkan ketidakstabilan kepada pertubuhan belia untuk berfungsi secara lestari.

“Maka, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berperanan untuk membantu peralihan pertubuhan belia kepada platform ROS tanpa mengubah nama akronim pertubuhan sedia ada atau mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk pertubuhan belia terus bergerak tanpa dibayangi keterbatasan had umur.

Tambahnya, pelaksanaan had usia berkenaan seharusnya dibuat secara berperingkat bersama perundingan dengan pertubuhan belia selaku pemegang taruh utama.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »