2026 bakal mencatat satu lagi titik penting dalam sejarah reformasi institusi negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri pada sidang Parlimen kali ini.
Langkah ini menunjukkan komitmen serius kerajaan terhadap pembaharuan politik dan reformasi institusi. Ini sebahagian daripada usaha memperkukuh demokrasi serta mengelak pemusatan kuasa berlebihan pada seorang pemimpin.
Konsep mengehadkan tempoh kepemimpinan bukan perkara baharu. Menurut Aristotle, prinsip bahawa man should not hold the same office twice adalah asas kepada demokrasi sihat.
Dalam konteks moden, Amerika Syarikat (AS) menetapkan had dua penggal untuk presiden melalui Pindaan Ke-22 Perlembagaan AS pada 1951 bagi mengelak pemusatan kuasa eksekutif.
Dalam konteks negara mengamalkan Demokrasi Berparlimen, Thailand, pasca reformasi Perlembagaan 2017, meminda Seksyen 158 (14) Perlembagaannya bagi mengehadkan individu menjadi Perdana Menteri kepada maksimum lapan tahun sama ada secara berterusan atau tidak berterusan.
Di Malaysia, idea mengehadkan tempoh khidmat Perdana Menteri sudah lama dikemukakan. Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal menjadi antara agenda utama reformasi institusi.
Selepas PRU14, Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan langkah ini apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan Perkara 7(2)(a) Undang-undang Tubuh Negeri pada 2018 bagi mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal.
DUN Melaka juga meluluskan satu usul bagi memperkenalkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja pada 2019.
Selanjutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, Barisan Nasional (BN) mengemukakan tawaran bagi menetapkan tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri Sabah dalam manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).
Perkembangan ini membuktikan idea mengehadkan tempoh kepimpinan bukan perkara mustahil, malah sejajar dengan semangat demokrasi moden dan prinsip tadbir urus baik.
Menurut Tom Ginsburg, profesor undang-undang antarabangsa dan sains politik terkemuka di Universiti Chicago, sistem demokrasi sihat memerlukan peralihan kuasa secara berkala bagi memberi peluang kepada kepemimpinan baharu dan memastikan pentadbiran lebih segar dan responsif terhadap perubahan zaman.
Perlembagaan tak tetapkan had tempoh
Dalam konteks negara, Perlembagaan tidak menetapkan sebarang had tempoh bagi Perdana Menteri. Seseorang boleh terus memegang jawatan selagi mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.
Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya, memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun antara 1981 sehingga 2003 pada tempoh pertama dan 22 bulan pada tempoh kedua (2018-2020).
Pasca PRU14, Malaysia mengalami ketidakstabilan politik dengan tiga Perdana Menteri bertukar dalam tempoh kurang lima tahun. Keadaan ini menonjolkan keperluan memperkukuh institusi bagi menyeimbangkan kuasa.
Usaha ke arah penetapan had tempoh Perdana Menteri sebenarnya bermula sejak 2019. Pada 3 Disember 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk VK Liew, membentangkan bacaan kali pertama RUU Pindaan Perlembagaan untuk menambah klausa had dua penggal dalam Perkara 43(2)(a).
Namun, cadangan itu terhenti akibat ketidakstabilan politik susulan peralihan kerajaan pada 2020. RUU itu kemudian ditarik balik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 27 Ogos 2020.
Usaha itu digerakkan semula ketika Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang pada 2021.
MoU itu secara jelas menyatakan hasrat mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun namun tidak dilaksanakan susulan pembubaran Parlimen.
Selepas PRU14, Malaysia menyaksikan empat Perdana Menteri dalam tempoh kurang lima tahun. Dalam keadaan ini, penetapan had tempoh akan membantu mewujudkan kestabilan politik seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Dengan had tempoh jelas, kerajaan boleh memberi tumpuan kepada dasar jangka panjang dan perkhidmatan kepada rakyat, manakala pembangkang boleh memainkan peranan semak dan imbang tanpa desakan menukar kerajaan setiap masa.
Dari sudut ekonomi, kestabilan politik sebegini mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan mengurangkan risiko perubahan dasar mendadak yang sering mengganggu pasaran.
Pelaksanaan had tempoh Perdana Menteri bukan mudah kerana ia memerlukan pindaan Perkara 43 Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Namun dengan semangat bipartisan dan kematangan demokrasi pasca PRU15, usaha ini wajar direalisasikan.
Sebagai perbandingan, pindaan Perlembagaan Thailand pada 2017 dapat dilaksanakan selepas perubahan kerajaan dan sokongan kuat daripada tentera.
Sistem di Thailand menetapkan pencalonan Perdana Menteri mesti disertakan dalam senarai dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum pilihan raya berlangsung, sekali gus memastikan proses peralihan kuasa berlaku secara tertib dan jelas.
Sebenarnya, asas perkara ini sudah ada di Malaysia. Perlembagaan menetapkan had tempoh jawatan Ahli Dewan Negara selama dua penggal atau terhad kepada enam tahun dan had tempoh seseorang Sultan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kepada lima tahun.
Justeru, usaha mewujudkan undang-undang mengehad tempoh jawatan Perdana Menteri adalah komitmen besar Kerajaan MADANI bagi menjayakan ikhtiar reformasi institusi yang tertangguh.
Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangkap Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia
Artikel penuh :