PEKAN, 12 Mei 2012 : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) menjanjikan “hari esok yang lebih baik dari hari ini” untuk semua lapisan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan kini sedang melakukan pelbagai program transformasi yang akan menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat termasuk golongan muda.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan sudah melakukan pelbagai transformasi bagi memastikan generasi akan datang terus mendapat faedah besar hasil dari perancangan berkenaan.
“Apa yang penting golongan muda akan terus maju ke depan dan kita akan terus sediakan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan belia,” katanya.
Najib berkata, semua agensi sama ada kerajaan atau bukan kerajaan perlulah melakukan program atau aktiviti yang dekat di hati golongan muda.
“Kalau kita buat program tapi tak connected (dampingi), ia tidak berbaloi, kita hendaklah merancang (melakukan program) apa yang dekat di hati mereka…kami dampingi golongan muda,” katanya.
Beliau tetap yakin sekali pun terdapat segelintir golongan muda yang menyertai perhimpunan di ibu negara pada 28 April lalu mencetuskan kekecohan dan rusuhan, majoriti golongan muda di negara ini sebenarnya tetap menyokong kepimpinan kerajaan BN. – BERNAMA