MAJLIS BELIA MALAYSIA

Generasi aktif: Inovasi lestari memperkasa belia berorganisasi

Oleh :

Ts Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

Pensyarah Kanan Sains Sukan

Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi

Universiti Teknologi Malaysia

KECENDERUNGAN belia masa kini yang semakin menjauhi penyertaan dalam kelab dan persatuan menjadi satu kebimbangan besar kepada pembentukan sahsiah dan kepimpinan masa depan negara. Kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan bahawa terdapat penurunan ketara penyertaan belia dalam aktiviti berorganisasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Faktor seperti kesibukan akademik, kekurangan daya tarikan aktiviti dan perubahan gaya hidup digital menyumbang kepada kemerosotan ini.

Justeru, keperluan kepada pendekatan penyelesaian yang bersifat lestari dan inovatif menjadi semakin mendesak. Menurut Astin (1999), penyertaan dalam aktiviti kokurikulum seperti kelab dan persatuan dapat meningkatkan pembangunan diri, kemahiran sosial dan kepimpinan belia. Dalam konteks Malaysia, Dasar Pembangunan Belia Negara turut menekankan peranan organisasi belia sebagai platform penting bagi memupuk semangat patriotisme dan integrasi nasional. Oleh itu, kegagalan menarik minat belia terhadap persatuan akan menjejaskan pembinaan modal insan dan kesinambungan kepimpinan akar umbi. Belia 5.0 memerlukan transformasi kelab dan persatuan secara lestari agar dapat menaikkan semula semangat bepersatuan. Literatur menyatakan bahawa antara sebab utama belia tidak berminat ialah kurangnya elemen relevan dalam program persatuan yang tidak sejajar dengan aspirasi generasi digital. Tambahan pula, budaya pengurusan kelab yang terlalu birokratik, kaku dan tidak inklusif menjadi penghalang kepada penyertaan aktif. Satu kajian oleh Aziz & Hamid (2020) mendapati bahawa 67% belia menyifatkan program kelab sebagai membosankan dan tidak memberi impak langsung kepada kerjaya atau kehidupan mereka. Pendekatan yang aktif, inklusif dan inovatif adalah transformasi masa depan belia berorganisasi. Untuk menarik semula minat belia, penyelesaian berasaskan inovasi lestari perlu diperkenalkan. Inovasi bukan sahaja merujuk kepada penggunaan teknologi, malah melibatkan pendekatan kreatif dalam merancang aktiviti, pengurusan organisasi dan penglibatan komuniti.

Sebagai contoh, model “Kelab Digital Belia” dan juga kewujudan “Kelab E-sports” yang di bangunkan oleh beberapa universiti awam membolehkan aktiviti persatuan dijalankan secara maya dengan fleksibiliti masa dan tempat. Ini sejajar dengan keperluan belia yang aktif secara dalam talian. Satu lagi pendekatan inovatif ialah penggunaan unsur gamifikasi dalam aktiviti kelab dan persatuan. Gamifikasi boleh meningkatkan motivasi intrinsik belia melalui sistem ganjaran, pencapaian dan pertandingan maya. Tidak dinafikan lagi Gen-Z cenderung kepada permainan E-sports pada masa kini. Selain itu, penggunaan aplikasi sosial seperti Discord, Telegram dan Instagram sebagai platform rasmi komunikasi dan promosi aktiviti boleh meningkatkan keterlibatan belia secara signifikan. Kajian oleh Lee & Chen (2021) membuktikan bahawa aplikasi sosial mampu meningkatkan kadar kehadiran aktiviti kelab sehingga 45%. Pendekatan lestari juga memerlukan organisasi belia menstruktur semula kandungan program agar lebih bersifat responsif terhadap isu semasa dan minat generasi kini. Contohnya, kelab yang mengetengahkan isu alam sekitar, kesihatan mental, inovasi digital dan keusahawanan sosial mendapat lebih sambutan dalam kalangan belia urban. Ini dibuktikan dalam kajian Cross et al. (2018) yang menunjukkan bahawa program berasaskan nilai memberi impak lebih besar terhadap penglibatan belia. Penyertaan influencer-influencer terkenal sebagai role-model utama juga penarik minat belia dalam berorganisasi.

Untuk menjadikan penyertaan lebih lestari, kepimpinan dalam kelab dan persatuan harus diperkasakan melalui latihan dan mentoring berterusan. Pendekatan “youth-led” yang memberi kuasa kepada belia membuat keputusan dan merancang aktiviti sendiri mampu membentuk rasa kepemilikan dan tanggungjawab. Selain itu, aspek inklusiviti dalam pengurusan kelab – merangkumi pelbagai latar belakang kaum, gender dan status sosial – harus diberi keutamaan supaya belia merasa lebih diterima dan dihargai. Pengantarabangsaan program ke arah global juga dapat menarik minat belia untuk berpersatuan.

Kesimpulannya, isu peratus belia yang tinggi tidak minat terhadap penyertaan dalam kelab dan persatuan perlu ditangani dengan strategi inovatif yang lestari dan berpaksikan keperluan sebenar belia masa kini. Pihak berkuasa, institusi pendidikan dan organisasi belia harus bekerjasama dalam membangunkan ekosistem yang menyokong penglibatan aktif belia melalui teknologi seperti aplikasi kecerdasan pembuatan, pendekatan fleksibel yang tidak jumud dan pembangunan program berimpak tinggi terutama memberi manfaat kepada golongan masyarakat. Tanpa tindakan bersepadu, kita berisiko kehilangan generasi pemimpin yang kompeten dan berdaya tahan dalam membina masa depan negara.

Bertarikh  :  3 Mei 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »