BANGI 20 Dis – Bertempat di Hotel TANERA Bangi, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah dijemput untuk berkongsi idea, pengalaman dan aspirasi dalam membentuk generasi muda yang bersedia menghadapi masa depan, menerusi penganjuran Bengkel Future Ready – Destiny Makers anjuran Majlis Belia FELDA Malaysia.
Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin yang mewakili Presiden MBM, telah tampil sebagai panel dalam platform berimpak tinggi ini yang menghimpunkan belia-belia Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dari seluruh negara.
Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa “masa depan bukan sesuatu yang ditunggu, tetapi dicipta. Inilah peluang buat belia untuk melangkah ke hadapan, memperkasakan potensi diri dan menjadi pencetus perubahan dalam komuniti masing-masing”.
Bengkel Future Ready: Destiny Makers berfungsi sebagai wadah inspiratif dalam membantu belia FELDA membina hala tuju kehidupan yang lebih jelas, berdaya saing serta relevan dengan realiti dan cabaran masa hadapan. Fokus utama bengkel ini merangkumi pembentukan kepimpinan berkesan, pemikiran strategik, pembangunan kendiri dan pengukuhan jaringan belia merentas wilayah.
Selain Syafiq, bengkel ini turut menampilkan YB Senator Dr. Jufitri Joha, Ahli Dewan Negara merangkap mantan Presiden MBM, yang berkongsi pengalaman luas dalam dunia kepimpinan nasional dan pembangunan belia.
Perkongsian daripada barisan panel telah membuka perspektif baharu, mencetus inspirasi serta membekalkan panduan praktikal kepada para peserta untuk menghadapi cabaran masa depan dengan keyakinan, visi dan keberanian sebagai Destiny Makers belia Malaysia.






