BESTARI JAYA 18 Dis – Universiti Selangor (UNISEL) bersama Pusat Islam UNISEL dan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Forum Dua Generasi: Membicarakan Isu Kemanusiaan dalam Konteks Semasa, sebuah platform dialog berimpak tinggi yang menghimpunkan suara, pengalaman serta idealisme belia dalam meneliti cabaran kemanusiaan global yang kian kompleks.
Forum ini menampilkan Encik Azizuddin Ahmad dari Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Encik Salman Mohd Yusop dari Global Peace Mission (GPM) yang mengupas isu kemanusiaan daripada perspektif advokasi, realiti kerja lapangan serta peranan penting masyarakat sivil. Perbincangan ini diperkaya dengan penghayatan tema kemanusiaan yang menyemai kesedaran, empati dan keprihatinan dalam kalangan peserta, khususnya generasi muda.
Selari dengan usaha menterjemahkan wacana kepada tindakan, program ini turut menyaksikan Majlis Menandatangani Jalinan Kerjasama Strategik (MoU) antara MBM bersama Advanced Retro Solutions, Keyo Strategic Solutions & Consultancy dan Viztech. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia luar bandar, khususnya golongan NEET, melalui pelaksanaan program TVET bersepadu yang menggabungkan latihan teknikal, kemahiran digital serta aplikasi kecerdasan buatan (AI), selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) demi pembangunan belia yang lebih inklusif dan mampan.
Dalam ucapannya, Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid menegaskan bahawa kemanusiaan bukan sekadar bahan perbincangan, tetapi satu tuntutan sikap dan tindakan. Beliau menekankan bahawa belia tidak boleh bersikap neutral terhadap kezaliman, sebaliknya perlu tampil sebagai suara moral yang berilmu, berfakta dan berdisiplin dalam memperjuangkan nilai sejagat.
Forum Dua Generasi ini bukan noktah kepada perbincangan, sebaliknya menjadi permulaan komitmen bersama untuk melahirkan belia yang peka, berdaya saing serta bertanggungjawab dalam memelihara dan memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat.





