SOCHI, 6 Mac – Para peserta Festival Belia Sedunia (WYF) telah mencipta “kota belia dunia” sebenar, kata Presiden Rusia, Vladimir Putin pada majlis penutup festival itu di Stadium Molodost Art.
“Anda telah berjaya mencapai lebih daripada kami jangkakan. Terima kasih semua”.
“Kami mahu mewujudkan persekitaran kebebasan, kreativiti, persahabatan yang membolehkan anda berinteraksi antara satu sama lain, mencari rakan baharu atau mungkin rakan kongsi untuk projek masa depan anda,” tambah beliau.
Ketua Delegasi Malaysia, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid menghadiri majlis penutup mewakili kontinjen Malaysia yang pada masa sama membuat persembahan kebudayaan ‘multiracial dance’ di pentas utama di luar stadium.
Turut sama Naib Presiden MBM, Sdr. Khairul Azman Abdul Azeez dan Presiden GPMS Kebangsaan, Sdr. Fazreen Ismadi.
WYF dianjurkan oleh Kerajaan Rusia berlangsung pada 1-7 Mac 2024, di wilayah persekutuan Sirius, yang terletak di Tanah Rendah Imereti berhampiran Sochi, Wilayah Krasnodar, di pantai Laut Hitam di selatan Rusia.
WYF2024 dihadiri lebih 20,000 orang belia dari lebih 180 negara. Selesai program di Sochi, 14 orang peserta Malaysia akan menyertai Regional Program di mana mereka di bawa ke beberapa wilayah di Rusia bagi mengenali dan mendalami budaya, sejarah dan masyarakat Rusia.