MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dialog Inspirasiku #TN50 : Harap sistem pendidikan yang bebas politik

Negeri Sembilan, 16 Jun 2017 – Banyak negara di dunia ini telah berjaya meningkatkan taraf pendidikan mereka melalui sistem pendidikan yang tidak dikaitkan dengan politik.  Seringkali dilihat, sistem pendidikan bertukar apabila berlaku perubahan portfolio di kementerian berkenaan.  Ini bukan sahaja mengundang kepada kekeliruan di kalangan pelajar, malah turut membabitkan golongan pendidik.

Ini antara luahan pelajar-pelajar di Institut Perguruan Guru Teknik Bandar Enstek dalam siri Dialog Inspirasiku TN50 anjuran Myvoc – MBM Komuniti Pendidikan yang telah dihadiri oleh hampir semua pelajar IPG Teknik. Dialog yang diadakan pada jam 5 petang itu mendapat sambutan yang luar biasa dari pelajar yang hadir dan berharap sesi ini dapat diadakan  sekali lagi pada masa akan datang.

Beberapa inspirasi turut mendapat perhatian seperti peluang pekerjaan selepas tamat pembelajaran di IPT, tawaran kursus-kursus yang tidak sesuai dengan permintaan pasaran, penekanan sistem keselamatan pendidikan kepada kanak-kanak, pengiktirafan kursus-kursus IPT oleh negara-negara luar serta isu penerbitan buku-buku terjemahan yang amat sedikit di Malaysia. Pelajar IPG Teknik juga turut mahu kerajaan agar memandang serius tentang jumlah peruntukkan yang amat  kecil untuk sistem pendidikan dan mereka turut menyuarakan tentang beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh golongan pendidik di sekolah. Isu keselamatan pengangkutan murid-murid ketika program luar sekolah turut disentuh kerana banyak berlaku kejadian yang tidak diingini telah menyebabkan guru-guru dipersalahkan oleh ibu bapa.

Dialog yang berakhir dengan majlis berbuka puasa ini menampilkan ahli panelnya Sdr. Khairul Nizam, Penyelaras MYVOC Pendidikan dan Sdr. Ahmad Sapparuddin, Setiausaha Agong MBM. Turut hadir Dr.Mohd Noor, Tuan Pengarah IPG Teknik, Dr. Tajul Ariffin, Timbalan Pengarah IPG Teknik, Sdr. Azlan Mohd Lasim, Pen. Pengarah / Ketua Unit Pendidikan Swasta At Jab. Pendidikan Negeri Sembilan  dan Sdr. Wan Mohd Husni, Exco MBM.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »