ORENBURG 24 Sep – Berlangsung selama seminggu dari 23 hingga 29 September 2024, Eurasia Global Forum di Orenburg, Russia telah menjadi ruang yang sarat dengan pertemuan, perkongsian, dan inspirasi dari seluruh dunia.
Tahun ini, memasuki siri ke-9 sejak penganjuran pertamanya pada 2016, forum ini menyaksikan Malaysia diwakili oleh Sdr. Dhanesh Basil, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa MBM, bersama Sdr. Syahmi Shamsudin dari Sekretariat MBM.
Sepanjang forum, delegasi Malaysia berpeluang menyertai pelbagai sesi dialog yang mempertemukan pemimpin muda dari pelbagai negara, berkongsi pandangan tentang isu global seperti keamanan, perubahan iklim, dan ekonomi digital. Pertemuan di sana bukan sekadar mendengar dan berbicara, tetapi juga membina jaringan yang mungkin kelihatan kecil di permukaan, namun penuh dengan potensi besar.
Satu detik yang tidak dilupakan adalah sewaktu delegasi kita bertukar pandangan tentang bagaimana pemerkasaan belia rentas sempadan perlu dilakukan dengan beberapa wakil belia daripada Amerika Latin, Afrika dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Indoenesia, di mana setiap kisah yang dikongsi menghidupkan harapan bahawa perubahan yang besar bermula dengan langkah kecil.
Antara pengalaman yang paling memberi kesan adalah lawatan ke Dewan Filharmonik yang menyaksikan satu teater orkestra budaya Orenburg. Di situ, kami diingatkan bahawa dalam kepesatan kemodenan, penting untuk kita tidak melupakan akar sejarah dan budaya kita sendiri.
Melalui perbincangan dan interaksi, terasa bagaimana semangat perpaduan itu mampu mengatasi perbezaan bahasa dan geografi. Meninggalkan forum ini, kami bawa pulang bukan sahaja ilmu dan pengalaman, tetapi juga kesedaran bahawa setiap individu boleh memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih baik.