MAJLIS BELIA MALAYSIA

Deklarasi Pengurangan Jenayah

Jenayah menjejaskan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama, jantina mahupun  taraf pendapatan. Demi melindungi yang tersayang, kerajaan telah menetapkan sasaran tinggi untuk, yang mana Kementerian Dalam Negeri, bertanggungjawab bagi penyampaiannya. Pencapaian sasaran ini akan memerlukan usaha bersama oleh kesemua agensi penguatkuasa undang-undang dan juga bantuan daripada ahli-ahli masyarakat khususnya golongan belia. Sementara tanda-tanda positif berkaitan jenayah jalanan di peringkat nasional semakin berkurangan, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mewujudkan keadaan di mana perasaan takut terhadap jenayah dapat dikurangkan.
Untuk itu, pemimpin belia seharusnya menjadikan Majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Inisiatif Pengurangan Jenayah antara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Dalam Negeri sebagai satu pelawan agar berganding bahu dengan semua agensi yang terlibat dalam membanteras jenayah di setiap peringkat supaya kita semua dapat hidup dalam negara yang aman dan selamat. Majlis ini nanti akan di hadiri oleh YB Menteri Belia dan Sukan dan juga YB Menteri Dalam Negeri pada 28 November 2013 jam 2.00 petang di Menara KBS, Putrajaya.
PENCEGAHAN JENAYAH MELALUI KESUKARELAAN
Penulis dan anda ketika ini mempunyai pekerjaan tetap di sebelah siang. Namun pada sebelah malam pula penulis dan anda bahkan ramai lagi belia yang dikategorikan sebagai orang awam mempunyai misi yang sama iaitu membantu polis memerangi jenayah.
Ibarat “dua alam”, siang sebagai orang awam dan malam sebagai anggota pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP). Mereka berperanan penting sebagai mata dan telinga pihak Polis Diraja Malaysia.
Walaupun mereka menggunakan pakaian seragam, peranan sukarelawan ini dilihat agak kurang menonjol. Walaupun hanya sebagai anggota sukarelawan polis, namun peranan yang dimainkan SSP sama seperti anggota polis biasa. Mereka berganding bahu membantu menjaga keamanan dan ketenteraman awam di seluruh ceruk daerah bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.
Mereka meninggalkan seketika dunia awam dengan menggunakan pakaian seragam polis. Pengorbanan mereka cukup tinggi. Pada saat orang lain berehat bersama keluarga pada sebelah malam, mereka pula melakukan rondaan di kawasan perumahan terutama yang berisiko tinggi berlaku jenayah. Malah mereka juga membantu polis dalam operasi di daerah masing-masing.

Selari dengan keperluan dan kehendak masyarakat hari ini, SSP yang agak kurang ditonjolkan sebelum ini perlu dimartabatkan sebagai penggerak jalinan masyarakat bersama polis. Mungkin sebelum ini, peranan SSP tidak dilihat secara serius. Setelah Perdana Menteri umumkan untuk menambah keanggotaan, sudah mula nampak gelombang baru dalam SSP sejak lima bulan kebelakangan ini. Ia sesuatu yang positif kerana SSP mampu membentuk satu masyarakat yang berdisiplin dan memahami serta menghormati undang-undang di negara ini.

Mencari maklumat dan menjadi mata dan telinga polis antara tanggungjawab yang turut dipikul anggota SSP. Kehidupan sebagai orang awam yang mana lebih memahami dan mendalami kehidupan setempat membolehkan mereka mengetahui apa yang berlaku di kawasan mereka. Jadi maklumat yang diketahui itu boleh disalurkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya bagi menjaga keselamatan awam. Dengan cara ini tindakan pencegahan seperti menempatkan lebih ramai lagi anggota di lokasi-lokasi yang sering berlaku jenayah akan dapat mengurangkan kemungkinan jenayah itu berlaku.
Duit bukan perkara utama dalam melakukan kerja sukarela seperti SSP sebaliknya rasa tanggungjawab untuk bersama-sama memberi khidmat dan sumbangan kepada masyarakat demi memastikan keselamatan awam yang menjadi keutamaan. Kita perlu anggap kerja ini sebagai satu tanggungjawab bersama demi kesejateraan masyarakat dan duit bukan keutamaannya kerana masing-masing mempunyai kerja tetap.
Rizan Hassan
Exco MBM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah
Majlis Belia Malaysia
22 Nov 203

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »