MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dari Teori ke Praktikal : Belia dalami Sembelihan Halal

SEMENYIH 14 Dis — Seramai 45 orang peserta telah menyertai  Kursus Asas Penyembelihan Halal anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan melalui inisiatif Rakan Muda (Rakan Mahir) yang berlangsung di Kampung Rinching Hulu.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh, latihan praktikal serta kesedaran kepada golongan muda mengenai kepentingan dan kaedah sembelihan halal mengikut syarak, merangkumi aspek teori dan amalan sebenar.

Sepanjang program, peserta berpeluang menjalani latihan praktikal di mana setiap peserta turut mengambil bahagian secara langsung dalam proses penyembelihan. Pengisian kursus turut merangkumi taklimat teori sembelihan halal mengikut syarie, tips dan teknik mengasah pisau dengan betul serta aktiviti gotong-royong penyediaan makan tengah hari yang mengeratkan semangat kebersamaan.

Program ini turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Sany Hamzan yang meluangkan masa meninjau aktiviti dan menyantuni peserta-peserta program.

Acara penutup program disempurnakan oleh Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin, Ketua Penerangan MBM. Turut hadir sama Sdr. Syahir Mohd Yusof, Exco MBM.

Program seumpama ini dilihat sebagai satu usaha strategik dalam melahirkan belia yang berpengetahuan, berkemahiran serta berintegriti dalam mendepani keperluan industri halal yang semakin berkembang pesat, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global. Pendedahan awal kepada aspek penyembelihan halal bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu, malah memperkukuh kefahaman belia terhadap tanggungjawab memastikan rantaian makanan halal dipatuhi sepenuhnya.

Selain itu, kursus ini turut menjadi platform pemindahan ilmu antara tenaga pengajar berpengalaman dan peserta, sekali gus meningkatkan keyakinan belia untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar. Pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal yang diterapkan menjadikan pengisian kursus lebih berkesan serta relevan dengan keperluan semasa industri.

MBM berharap penganjuran kursus seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai belia di seluruh negara. Inisiatif ini juga diharap dapat mencetus minat belia untuk terus mendalami bidang sembelihan halal secara profesional, seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kelestarian ekosistem halal negara.

Secara keseluruhannya, Kursus Asas Penyembelihan Halal ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium pendidikan, malah menjadi wadah pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai tanggungjawab dalam kalangan belia, selari dengan matlamat pembangunan belia holistik yang digariskan oleh MBM dan Kementerian Belia dan Sukan.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »