MAJLIS BELIA MALAYSIA

Campus Reach Out Edisi UKM Perkukuh Jalinan Kepimpinan Belia Kampus

Bangi | 11 Disember 2025 – Program Campus Reach Out edisi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya dilangsungkan dalam suasana penuh semangat kebersamaan serta menyemarakkan aspirasi baharu dalam kalangan belia kampus.

Program ini dimulakan dengan sesi pertemuan dua hala yang melibatkan pimpinan Kelab Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) bersama pimpinan tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh Presidennya, Sdr. Izzat Afifi. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengerusi Tetap MBM, Sdr. Naim Al Amin, Exco MBM, Sdr. Syahir Razak, serta tetamu khas, Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Sdri. Izyan Anver.

Pertemuan berkenaan menjadi platform penting untuk perbincangan strategik berkaitan hala tuju pembangunan belia berpengajian tinggi menjelang tahun 2026. Antara fokus utama perbincangan termasuk penerokaan peluang kolaborasi serantau antara organisasi belia, pertukaran pengalaman kepimpinan mahasiswa, serta usaha memperkukuh pembangunan kepimpinan belia kampus di peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui penganjuran Campus Reach Out ini, MBM menzahirkan komitmen berterusan dalam mendekati belia kampus serta menyediakan ruang dialog terbuka bagi menyelaras aspirasi mahasiswa dengan agenda pembangunan belia negara. Program ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada penglibatan lebih aktif belia universiti dalam kepimpinan, advokasi dan jaringan kerjasama serantau.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »