MAJLIS BELIA MALAYSIA

Burnout dalam kalangan belia usia 20an: Realiti atau Overthinking?

Oleh :

Nurul Ain Wafana Mohd Iskandar

Naib Bendahari, Kelab Sahabat Perpustakaan Tuanku Bainun

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

FENOMENA burnout kini semakin membimbangkan khususnya dalam kalangan generasi muda yang berusia seawal 20an. Artikel ini membincangkan sama ada burnout merupakan satu realiti yang perlu diakui atau sekadar kesan daripada overthinking dan tekanan sosial. Berdasarkan definisi dan dapatan kajian semasa, penulisan ini menghuraikan simptom, punca serta cadangan menangani burnout agar generasi muda lebih bersedia menangani cabaran emosi dan mental dalam kehidupan seharian.

Istilah “burnout” atau keletihan melampau kini semakin kerap didengari, terutamanya dalam kalangan individu yang baru melangkah ke alam dewasa. Persoalan utama adalah sama ada burnout pada usia muda merupakan realiti yang perlu diberi perhatian serius atau sekadar reaksi berlebihan terhadap tekanan harian.

Definisi dan Teori Burnout

Menurut World Health Organization (WHO), burnout adalah sindrom yang berpunca daripada tekanan kerja kronik yang tidak berjaya ditangani. Maslach dan Jackson (1981) pula mendefinisikan burnout sebagai proses jangka panjang yang melibatkan tiga komponen utama: keletihan emosi, depersonalisasi, dan penurunan pencapaian peribadi. Burnout bukan sahaja memberi kesan terhadap produktiviti, malah turut menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal individu.

Simptom burnout boleh dikelaskan kepada tiga kategori utama:

  1. Gejala Fizikal: Keletihan berpanjangan, sakit kepala, gangguan tidur, dan masalah penghadaman;
  2. Gejala Emosi: Rasa putus asa, mudah tersinggung, kemurungan, kehilangan motivasi dan perasaan tidak dihargai;
  3. Gejala Tingkah Laku: Pengabaian penjagaan diri, perubahan pola makan, penggunaan bahan terlarang dan penurunan prestasi kerja atau akademik.

Menurut kajian oleh Amani Fadzlina Abdul Aziz dan Ong (2024), sebanyak 58.13% pekerja di Malaysia mengalami burnout, majoritinya berusia dalam lingkungan 20an. Kajian ini berdasarkan tinjauan terhadap lebih 4,000 pekerja sepenuh masa di Asia Tenggara. Dalam konteks pendidikan tinggi, kajian oleh Norwati Daud et al. (2020) mendapati 67.9% pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia mengalami burnout, manakala di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula, 22.2% pelajar klinikal mencatatkan simptom yang sama dengan kadar tertinggi dalam kalangan pelajar perempuan (Tee et al., 2022).

Punca Burnout dalam Kalangan Belia

Burnout dalam kalangan belia tidak terhad kepada tekanan kerja semata-mata. Beban akademik, tekanan sosial, pengaruh media sosial dan ekspektasi terhadap kejayaan awal turut menyumbang kepada tekanan mental yang tinggi. Fenomena perbandingan diri melalui media sosial juga menyumbang kepada rasa rendah diri dan keinginan untuk mencapai kejayaan secara tergesa-gesa.

Overthinking atau kecenderungan untuk memikirkan sesuatu secara berlebihan turut memainkan peranan dalam memperburuk keadaan burnout. Menurut Nida UI Hasanat (2022), overthinking sering dikaitkan dengan bayangan negatif yang belum tentu berlaku, sekali gus membebankan mental individu. Ini membentuk tekanan dalaman yang besar, khususnya dalam kalangan individu muda yang sedang mencari arah tuju hidup.

Isu Kesihatan Mental dalam Kalangan Generasi Muda

Kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda semakin meruncing akibat tekanan sosial, ketidaktentuan masa depan dan kekurangan sokongan emosi. Generasi muda kini lebih mudah terdedah kepada gangguan emosi seperti kemurungan, keresahan melampau dan hilang kepercayaan diri. Keadaan ini diburukkan lagi dengan stigma terhadap masalah kesihatan mental yang menyebabkan ramai enggan mendapatkan bantuan profesional.

Langkah-langkah Pencegahan Kesihatan Mental

Untuk menangani isu ini secara menyeluruh, beberapa langkah pencegahan boleh diambil, antaranya:

  1. Pendidikan Kesedaran Awal: Menyediakan program pendidikan kesihatan mental di sekolah dan universiti untuk meningkatkan kesedaran;
  2. Perkhidmatan Sokongan Psikologi: Menambah baik akses kepada kaunseling dan terapi, termasuk khidmat secara atas talian;
  3. Sokongan Sosial Komuniti: Mewujudkan komuniti sokongan yang selamat dan inklusif bagi individu meluahkan masalah tanpa prejudis;
  4. Pengurusan Masa dan Gaya Hidup Sihat: Menggalakkan keseimbangan antara kerja dan rehat, serta gaya hidup aktif yang menyihatkan.

Surah Al-Baqarah ayat 2:155 mengingatkan umat Islam bahawa ujian hidup adalah lumrah dan setiap individu diuji secara berbeza. Ini menggalakkan kesabaran serta pendekatan rohani sebagai salah satu langkah menangani tekanan dan burnout.

Cadangan Penyelesaian

Beberapa langkah realistik yang boleh diambil untuk menangani burnout termasuk:

  1. Mengenal pasti had diri dan belajar berkata tidak apabila perlu.
  2. Memberi ruang kepada diri untuk berehat dan menghargai pencapaian kecil.
  3. Mencari sokongan sosial seperti rakan atau kaunselor.
  4. Mengelakkan perbandingan diri dengan orang lain.

Kesimpulan

Burnout dalam kalangan belia bukanlah mitos atau alasan semata-mata, tetapi satu realiti yang harus diberi perhatian. Ia adalah refleksi kepada beban kerja, tekanan sosial dan overthinking yang tidak terkawal. Kesedaran awal, pendekatan holistik serta sokongan menyeluruh diperlukan bagi memastikan kesejahteraan mental generasi muda terus terpelihara. Seiring dengan itu, isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat juga harus dipandang serius dengan pendekatan pencegahan yang komprehensif dan berterusan. Sebagaimana pepatah menyebut, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Bertarikh : 21 Mei 2025

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi MBM.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »