KUALA LUMPUR 11 Sept. – Majlis Belia Selangor (MBS) menegaskan perbuatan membocorkan soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah pengkhianatan terhadap prinsip pendidikan dan menyalahi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
Presidennya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihak berwajib khususnya Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan mesti menyiasat isu berkenaan secara serius selain mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengingatkan para guru, penggubal soalan peperiksaan dan juga petugas peperiksaan bahawa peperiksaan awam hanyalah salah satu aspek daripada keseluruhan proses pembelajaran.
“Peperiksaan bertujuan untuk membuat pentaksiran dan penilaian terhadap apa yang dipelajari. Justeru, kami merayu agar mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini semata-mata untuk ranking sekolah yang baik. Tindakan seperti ini adalah amat memalukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lembaga Peperiksaan hari ini mengumumkan pembatalan ujian UPSR bagi kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 kerana didapati berlaku kebocoran.
Semalam, lembaga itu mengumumkan penangguhan kertas Sains kerana didapati berlaku kebocoran. Ujian semula kedua-dua kertas berkenaan ditetapkan pada 30 September ini.
Sementara itu, Irmohizam berkata, tindakan Lembaga Peperiksaan menarik semula soalan Sains dan Bahasa Inggeris itu merupakan suatu tindakan yang betul dan wajar walaupun kemungkinan besar banyak lagi soalan peperiksaan bagi mata pelajaran lain turut bocor di media sosial.
Beliau juga melahirkan rasa sedih kerana pengumuman penangguhan itu dibuat pada tarikh yang sama sewaktu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 pada 11 September 2012.
Justeru beliau mempersoalkan, berdasarkan kes kebocoran soalan yang terbaru itu, sejauh mana keseriusan pihak kementerian dalam menambah baik sistem pendidikan negara.
© Utusan Melayu (M) Bhd