ATAS TALIAN 29 Ogos – Sempena bulan kemerdekaan, Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Penerangan, Penerbitan dan Media telah mengadakan sembang santai ‘Bicara Anak Muda Merdeka’ Siri 2 secara Live di TikTok membicarakan peranan anak muda Pasca Merdeka.
Episod kali ini menampilkan dua orang Pempengaruh Media Sosial (Influencer) iaitu Chi Howe (TikTokers Bulu Ketiak) dan Si Riezal. Program dihoskan Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin, Penolong Ketua Penerangan MBM.
Antara topik yang dibualkan ialah peranan influencer yang mempunyai pengaruh di media sosial ini dalam membawa nilai-nilai positif kepada anak muda seperti patriotisme dan perpaduan.
Chi Howe berpendapat sekolah adalah tempat yang baik untuk memupuk nilai perpaduan dalam kalangan pelajar.
Riezal pula menyatakan sikap bertanggungjawab terhadap negara perlu datang dalam diri belia itu sendiri. Program sudah banyak, jadi belia perlu lebih proaktif untuk terlibat dalam agenda perpaduan dan patriotisme, ujar beliau.
Syafiq mengakui, anak muda sekarang kurang berminat tentang sejarah, tetapi mahu tidak mahu mereka perlu tahu sejarah negara kita supaya dapat belajar pejuangan generasi masa lampau dalam memerdekakan negara hingga kita dapat hidup aman seperti hari ini.