IPOH 30 Okt – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan telah berjaya melaksanakan Bengkel Transisi Kepimpinan Belia 2025 selama dua hari di Hotel Tower Regency.
Bengkel ini dipengerusikan oleh Sdr. Hasnul Haniff Harun, Setiausaha Agung MBM dibantu Sdr. Ngai Chee Hau, Exco MBM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan.
Tujuan pelaksanaan bengkel ini adalah bagi merencana kesiapsiagaan program kepimpinan dan pemilihan modul yang sesuai yang akan dijalankan secara 3 fasa dalam mendepani penguatkuasaan Akta 668 berkuatkuasa Januari 2026. Program kepimpinan ini sangat penting dalam usaha mempersiapkan bakal kepimpinan pertubuhan belia di bawah umur 30 tahun.
MBM komited dalam memenuhi Akta 668. Program kepimpinan ini melibatkan semua badan gabungan MBM yang mana sebagai persediaan barisan kepimpinan di peringkat pertubuhan masing-masing.
Di samping memastikan pertubuhan belia di Malaysia terus relevan dalam membawa suara belia dan pembangunan belia Malaysia khususnya. Semua pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Badan-badan Gabungan MBM di semua peringkat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tujuan dan objektif program ini dapat dicapai.
Hadir sama, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri dan Haji Mohd Sukor Yusof sebagai pakar rujuk merangkap mantan pimpinan MBM, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Munir Ali Yasak, wakil Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Bahagian Kepimpinan, wakil JBS Negeri Perak, wakil Akademi Kenegaraan Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan MBM.
Sdri. Atiqah Syahirah Shaharuddin, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan telah hadir menyempurnakan majlis penutup Bengkel Transisi Kepimpinan Belia 2025.