KUALA LUMPUR 19 Jun – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan Bengkel Latihan Fasilitator BeMind selama 2 hari (18-19 Jun) di Pusat Belia Antarabangsa. Program ini melibatkan seramai 30 orang peserta terdiri daripada penggerak BeMind di seluruh negara.
Bengkel latihan ini merupakan salah satu program pengukuhan sukarelawan di bawah inisiatif Komuniti Minda Sihat Belia Malaysia (Skuad BeMind).
Bengkel Latihan Fasilitator ini diadakan untuk melengkapkan penggerak Skuad BeMind dengan teknik pengurusan emosi kendiri dan respon awal kesihatan mental. Skuad BeMind sebagai satu medium membudayakan interaksi positif dalam kalangan komuniti seterusnya membentuk kumpulan sokongan psikososial dengan aktiviti-aktiviti minda sihat.
Para peserta telah didedahkan dengan kemahiran asas fasilitator dan Psychological First Aid (PFA) selain pembentangan simulasi modul program lapangan BeMind Bencana dan Take5 Youth Camp.
Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid, Presiden MBM turut meluangkan masa menghadiri sesi pembentangan tersebut.
Turut serta dalam bengkel ini ialah Sdr. Ibnu Rasyeed Mat Isa dan Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesukarelaan dan Belia Mahir MBM.