Negara sedang melalui satu tempoh suram. Bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur dan Johor menambah derita bumi yang sedang parah melawan virus Covid-19. Dengan jumlah jangkitan konsisten dengan angka empat digit semenjak Disember 2020, ditambah dengan musibah banjir, ia cukup menggambarkan keadaan negara yang agak meruncing ketika ini.
Melihatkan keadaan di lapangan, banyak maklumat yang diperolehi menunjukkan tahap Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mencegah Covid-19 sudah ‘tidak terikut’, terutama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir. Ianya bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kita sedar mangsa banjir sudah dikategorikan dalam keadaan terdesak untuk berlindung. Mahu tidak mahu, mereka harus berlindung walaupun di tempat ramai orang bagi menyelamatkan diri serta keluarga daripada banjir. Selain itu, terdapat juga PPS yang melakukan pembahagian makanan yang tidak mengikut SOP.
Dalam apa jua bencana yang menimpa, pastinya bantuan dari pelbagai pihak akan diperoleh. Tidak kira bantuan tersebut dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian mahupun sukarelawan, Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendapat sudah tiba masanya masyarakat dididik dengan cara yang betul dalam aspek memberi dan menerima bantuan.
Mengambil iktibar daripada pengalaman MBM menggerakkan misi bantuan banjir sebelum ini, bantuan yang datang hendaklah dikawal dengan sistematik. Pemberi bantuan hendaklah menyusun atau membungkus sebaiknya barangan yang hendak didermakan. Sebagai contoh, pakaian yang hendak didermakan hendaklah disusun serta dibungkuskan setiap helai pakaian, seterusnya dilabel berdasarkan saiz dan jantina. Jika prosedur ini diterapkan, lambakan pakaian yang sentiasa terjadi di PPS tidak akan berlaku lagi kerana setiap helaian pakaian boleh diuruskan dengan baik seterusnya diagihkan kepada mangsa berdasarkan label yang tertera.
Dalam pada itu, penerima bantuan yang rata-ratanya adalah mangsa banjir haruslah menunjukkan sifat yang mulia. Elakkan dari berebut-rebut dan sentiasa tahu dengan siapa perlu berhubung sekiranya dalam keadaan memerlukan. Sikap tolak ansur dan sabar sentiasa diharapkan daripada semua mangsa.
Khidmat sukarelawan amat ditagih dalam keadaan bencana ini. Sudah tentu, kesukarelawanan merupakan salah satu core-business MBM. Pengalaman MBM dalam penglibatan kesukarelaan terutama dalam aspek bencana banjir telah banyak mematangkan gerakan kami. Kepada sukarelawan yang sedia berkhidmat, ini bukan masa untuk bersuka-ria. Bantulah seikhlas dan semampu mungkin disamping jaga perilaku kerana ia akan melambangkan imej organisasi yang anda wakili.
MBM juga mengalu-alukan orang ramai agar dapat menderma dalam “Kutipan Dana Mangsa Banjir” yang akan digunakan untuk membeli pakaian dalam dan tuala wanita kepada mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur serta Johor. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 5640 2540 3782 atas nama Tabung Kemanusiaan MBM. MBM dan seluruh bandan gabungan berharap semua mangsa terus cekal dan tabah mengharungi dugaan.
MOHD NIZAM OMAR
Penolong Bendahari Kehormat
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 8 Januari 2021