MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia yang hebat dan berjaya bukan pembuli di Sekolah

Oleh :

Ts Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

Pensyarah Kanan

Sekolah Pendidikan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia

Kita sering dimomokan membuli itu adalah perkara biasa terutama apabila memasuki asrama, sekolah atau tempat baru. Buli perlu ada untuk meningkatkan sifat hormat junior kepada senior. Buli dapat membentuk sahsiah yang baik dan mengajar tentang disiplin hormat menghormati orang yang lebih tua. Buli perlu dilaksanakan setiap tahun, ia perlu dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan kecederaan yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian. Jadi sifat membuli perlu ada terutama kepada golongan yang lebih lemah dari kita atau bahasa mudah golongan yang lembik seperti junior yang baru nak up.

Pelaksana dan pengurusan yang mengamalkan kaedah tradisional pula menganggap buli dapat membentuk belia yang kuat dan tidak lembik apabila disentuh dan dipukul akibat melakukan kesalahan di asrama dan sekolah seperti mencuri, merokok dan sebagainya. Buli boleh dijalankan dengan kadar minima seperti menyuruh junior membasuh pakaian atau kasut, mengambil makanan atau potong barisan di kantin atau yang lebih parah lagi tiup kipas sampai berpusing dan pelbagai perkara pelik seperti mengikat kaki di katil, meletak colgate di pusat dan lain lain. Budaya membuli ini menjadi perkara biasa di asrama dan sekolah dan akan hanya akan jadi luar biasa apabila ada kematian yang berlaku.

Malang tidak berbau, apabila buli menyebabkan kematian, semua akan mengambil jalan mudah menunding jari kepada si pelaku yang melakukan aktiviti buli ini. Adakah perkara buli ini atau budaya membuli ini tidak dapat dikesan sejak dari awal lagi, sudah pasti minggu pertama orientasi perjumpaan semua pelajar telah diberitahu tentang undang-undang sekolah dan jika ada pelajar yang melakukan kesalahan, tindakan hanya boleh diambil oleh pihak yang berkuasa. Pelbagai peraturan, Standart of Procedure (SOP), Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC), dan pelbagai jenis undang-undang yang telah diwujudkan akan tetapi kenapa membuli hingga menyebabkan kematian ini masih wujud. Adakah tanpa disedari ia telah dibudayakan dan dinormalisasikan dalam masyarakat kita. Tepuk dada, tanya hati masing masing.

Sepandai-pandai tupai melompat pasti jatuh jua ke tanah. Sepintar-pintarnya bangkai ditutupi, baunya tetap tercium. Sudah pasti baunya akan sampai kepada pihak yang bertanggungjawab. Tindakan membuli perlu diambil serius dan bukan perkara tradisi atau perkara biasa di sekolah atau di tempat kerja. Pihak pengurusan dan kepimpinan perlu memandang perkara buli ini dengan lebih serius. Kita tidak mahu pemimpin masa depan ini, yang bakal bekerja satu hari nanti membawa budaya tidak sihat ini ke alam pekerjaan. Buli menggunakan kuasa dan jawatan yang ada demi kepentingan diri, lebih memalukan ia adalah melibatkan golongan yang dikatakan bekerja di dalam bidang yang profesional.

Buli kini merupakan fenomena sosial yang serius yang sering berlaku di pelbagai kalangan masyarakat. Penyebab kejadian buli adalah hasil daripada faktor-faktor yang kompleks dan berbeza-beza. Perbezaan sosial seperti status ekonomi, kaum, agama, dan orientasi seksual boleh mencipta jurang antara individu atau kumpulan, yang pada sifat fitrah nya juga menyebabkan konflik dan tingkah laku buli. Selain itu, faktor psikologikal seperti kurangnya empati dan keperluan untuk menegakkan kuasa juga memainkan peranan penting dalam kejadian buli. Orang yang membuli mungkin mengalami masalah identiti diri dan menggunakan tingkah laku tersebut sebagai cara untuk mencari pengiktirafan atau penerimaan dalam kelompok masyarakat.

Persekitaran sosial dan budaya juga mempengaruhi kejadian buli. Budaya sekolah, keluarga, dan masyarakat secara keseluruhan memainkan peranan dalam membentuk sikap dan tingkah laku individu terhadap orang lain. Jika budaya tersebut menggalakkan tingkah laku agresif atau tidak sensitif terhadap perasaan orang lain, individu mungkin cenderung meniru tingkah laku tersebut. Di samping itu, pengaruh media juga boleh mempengaruhi persepsi dan tingkah laku seseorang terhadap buli. Kejadian buli kini semakin menular di sekolah, tempat kerja atau sesuatu kawasan. Statistik semasa menunjukan buli bukan sekadar membawa kepada kemalangan maut dan malahan kepada kesihatan mental.

Bagi individu yang terlibat dalam buli, penting untuk diingatkan  bahawa terdapat risiko serius terhadap kesihatan mental dan emosi mereka, serta kesan jangka panjang terhadap mangsa buli. Oleh itu, usaha pencegahan dan intervensi yang holistik adalah penting untuk mengurangkan kejadian buli dalam masyarakat. Ini termasuk pendidikan tentang empati dan penghargaan terhadap kepelbagaian, pengukuhan sekolah dan masyarakat yang memberi sokongan kepada mangsa dan mengajar kemahiran menyelesaikan konflik secara konstruktif, serta pemantauan yang berterusan terhadap tingkah laku buli untuk tindakan pencegahan yang efektif. Dengan usaha bersama, kita boleh membentuk masyarakat yang lebih selamat dan berempati kepada semua individu.

Untuk mengatasi masalah buli, pendekatan yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai pihak adalah penting. Keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya dan kesan negatif perilaku buli melalui pendidikan dan program kesedaran di sekolah, rumah, tempat kerja, komuniti dan masyarakat adalah sangat penting. Ini termasuk memasukkan kurikulum anti-buli dalam pendidikan serta menganjurkan ceramah dan bengkel untuk pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa tentang akta dan undang undang buli. Tindakan membuli boleh dikenakan hukuman undang-undang, tambahan apabila menyebabkan kematian.

Pihak yang bertanggungjawab perlu mencipta persekitaran yang selamat dan inklusif di sekolah dan masyarakat. Ini melibatkan penguatkuasaan peraturan sekolah, tempat kerja yang jelas mengenai buli, serta memupuk budaya yang menghormati kepelbagaian dan menghargai setiap individu. Program pembangunan sosial dan emosi juga boleh membantu meningkatkan kemahiran interpersonal pelajar dan membina hubungan positif di kalangan mereka. Tindakan yang berlebihan boleh membawa padah kepada semua pihak. Umum mengetahui keperluan untuk bersikap saling hormat menghormati dan wasatiah dalam kehidupan.

Secara tuntasnya, buli bukan budaya kita, belia Malaysia hebat dan berjaya bukan menjadi pembuli di sekolah atau tempat kerja. Budaya rakyat Malaysia adalah golongan yang berjaya sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada insan yang lemah dan serba kekurangan. Golongan ini perlu didengari, dilindungi dan disokong secara emosi dan praktikal. Sekolah dan tempat kerja perlu menyediakan saluran komunikasi terbuka bagi mangsa buli untuk melaporkan kepada mereka dan mendapatkan bantuan yang diperlukan. Dengan pendekatan holistik dan kerjasama semua pihak, kita dapat mengatasi masalah buli dan membentuk persekitaran yang lebih selamat dan inklusif untuk semua individu.

Untuk mencipta masyarakat yang berkarisma dan berkualiti, adalah penting untuk memberi perhatian kepada pendidikan, pembangunan kemahiran, kepemimpinan yang beretika, budaya kreativiti dan inovasi, keadilan dan kesetaraan serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya. Dengan mengambil langkah-langkah ini, masyarakat dapat membentuk persekitaran yang membolehkan pertumbuhan individu secara menyeluruh dan pembangunan komuniti yang inklusif. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka.

Bertarikh :  25 Mac 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »