MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia sokong GST, syor cuma tiga peratus

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) memberikan sokongan penuh terhadap pengenalan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), namun, pada kadar tiga peratus, lebih rendah. 

Pengerusi Biro Ekonomi, Keusahawanan dan Perindustrian, Datuk Syed Osman Mohamed berkata, sistem pencukaian yang efektif perlu dalam memastikan isi rumah tidak terbeban dan mendapat segala manfaat daripada bantuan yang diberikan kerajaan. 

Justeru, katanya, sistem percukaian GST dilihat mampu membantu kerajaan dalam menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat. 

“MBM mencadangkan agar kadar GST ini ditetapkan pada kadar tiga peratus. Ia adalah satu kadar yang terbaik di ketika ini dan sebagai salah satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. 

“GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dan boleh bantu kebajikan rakyat khususnya kepada belia. 

“Sistem pencukaian tersebut dilihat mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan sistem GST dilaksanakan semula sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

GST yang sudah dilaksanakan di 160 negara di seluruh dunia, mula diperkenalkan di negara ini oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus. 

Mengulas lanjut, Syed Osman berkata, sistem GST juga mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan

Katanya, ini kerana kutipan hasil GST boleh diagihkan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar. 

“Dengan adanya GST Kita akan mendapat hampir RM20 bilion setahun apabila kita memansuhkan GST dan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

“Ia merupakan satu kesilapan kerana tiada negara dalam dunia yang kembali dari GST kepada SST, melainkan negara kita,” ujarnya. 

Justeru, beliau berkata, rakyat perlu mula berfikir dan sedar bahawa kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan ketika ini di samping beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik bagi meraihkan sokongan bagi kepentingan diri sendiri  dan disebabkan itulah ada persepsi negatif mengenai GST. 

Oleh itu, katanya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan dalam memahamkan rakyat kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST ini. 

“MBM juga menyarankan apabila sistem percukaian GSt diperkenalkan semula, kerajaan hendaklah memperbanyakkan lagi program subsidi bersasar seperti menetapkan harga petrol RON95 dengan kadar harga RM 1.85 per liter dan mengecualikan cukai jalan bagi kenderaan semua jenis 2.0cc kebawah.

“Selain itu, mengurangkan harga tol dalam bandar dan lebuhraya Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), beri diskaun dan kecualikan pinjaman pendidikan kepada pelajar,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/2022/06/belia-sokong-gst-syor-cuma-tiga-peratus/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=belia-sokong-gst-syor-cuma-tiga-peratus&fbclid=IwAR0lJkEYBzxzXjzkJ8Se9MdUtkvO_iHpRWT11NDCyF2ZXhwUuUxyHKKN-34

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »