MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Perlu Bijak Guna Peluang, Inisiatif MelaluiBelanjawan 2025 – MBM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Belia Malaysia perlu bijak dalam mengurus peluang
yang ada menerusi Belanjawan 2025 dan menggunakannya dengan cermat serta penuh
tanggungjawab demi masa depan lebih baik.


Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata Belanjawan
2025 jelas menunjukkan tumpuan kerajaan kepada kesejahteraan rakyat dan
pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.


Mengambil contoh kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, beliau berkata ia selaras
komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan golongan belia,
khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif itu dalam menghadapi
cabaran kos sara hidup.

Selain itu, beliau berkata Program Belia Kreatif MADANI yang menyasarkan 6,000 anak
muda menerusi aktiviti seperti bengkel kemahiran videografi, kandungan kreatif,
pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek dapat memeriahkan lagi
industri penciptaan idea dan kreatif untuk anak muda.


“Peruntukan RM30 juta bagi Program Anak Kita serta sokongan tambahan oleh Yayasan
Hasanah yang memfokuskan kepada minat anak-anak dalam bidang Pendidikan dan
Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penting bagi memastikan generasi muda
mendapat kemahiran relevan dengan keperluan pasaran kerja masa kini,” katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengenai peruntukan RM50 juta bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0),
Mohd Izzat Afifi berkata program itu akan memberikan pengalaman lebih holistik dan
berstruktur kepada lepasan kadet sekolah serta MBM yakin ia mampu memupuk disiplin,
tanggungjawab dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Mohd Izzat Afifi berkata pengenalan skim Step Up Financing dengan jaminan kerajaan
hingga RM5 bilion, khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama
dapat meringankan beban kewangan serta membantu mereka dengan bayaran balik
pinjaman yang rendah.


“MBM juga menyokong inisiatif Geran Padanan RM10 juta oleh TalentCorp di bawah
Program LiKES yang membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang Sains,
Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) kerana ia dapat memperkasakan
graduan muda dengan kemahiran relevan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka
dalam bidang-bidang kritikal masa hadapan.

“Peruntukan RM20 juta bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)
menggalakkan generasi muda menceburi bidang keusahawanan untuk meningkatkan
taraf hidup dan memainkan peranan dalam memperkukuh ekonomi negara melalui
pembinaan perniagaan baharu,” katanya.


Mengenai penyelenggaraan kemudahan belia dan sukan, Mohd Izzat Afifi berkata
langkah itu penting untuk memastikan golongan berkenaan mempunyai akses kepada
fasiliti yang berkualiti bagi menjalankan aktiviti sihat dan produktif.


Selain itu, beliau berkata Inisiatif Geran Padanan Sukan untuk menggalakkan
penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
bukan sahaja akan memperkasakan aktiviti sukan di peringkat akar umbi tetapi
memupuk perpaduan dan kesihatan dalam kalangan belia.


“MBM komited untuk terus memainkan peranan dalam memastikan semua inisiatif yang
diumumkan dalam Belanjawan 2025 memberikan impak positif dan berkekalan kepada
golongan belia,” katanya. — BERNAMA

Artikel penuh :

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news_bajet.php?id=2353833&fbclid=IwY2xjawGDQRZleHRuA2FlbQIxMQABHexHfnIHXvj2D7HBxoAfgaPsgX1ZO2BkbJJB_b1s0SJKl10-j6MiLFhq5g_aem_j7grqqyVfJRJiFDlluX8cg

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »