MAJLIS BELIA MALAYSIA

Belia Perkasa Komunikasi Bencana di Royal Belum

GERIK 22 Dis – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah berjaya menganjurkan Program Houseboat Bootcamp: Bengkel Asas Radio Amatur dan Simulasi Komunikasi Bencana yang berlangsung selama dua hari bertempat di Tasik Temenggor, Royal Belum, Perak.

Program berimpak ini menghimpunkan 36 orang belia dari pelbagai latar belakang dengan objektif memperkukuh kemahiran asas komunikasi radio amatur, khususnya dalam situasi bencana dan kecemasan. Peserta didedahkan kepada fungsi radio amatur, kaedah penyediaan stesen komunikasi, serta teknik penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan ketika krisis.

Dengan sokongan strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah Rakan Muda serta Kelab Kebajikan Radio Amatur Malaysia (KRAM), program ini menampilkan pelbagai aktiviti praktikal termasuk simulasi komunikasi bencana, eksplorasi alam Royal Belum, latihan water confident, aktiviti pembinaan pasukan, serta praktikal komunikasi di lapangan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan alam sekitar ini bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal belia, malah menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam, kerja berpasukan dan kesiapsiagaan sukarelawan dalam menghadapi cabaran bencana.

Inisiatif ini menjadi bukti komitmen MBM dalam melahirkan barisan belia berkemahiran, berdaya tahan dan bersedia menyumbang secara langsung kepada masyarakat serta misi bantuan bencana negara.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »