LIPIS 3 Ogos – Program Tunas Madani 30 (Siri 5) Transisi Kepimpinan Belia 2025 anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat di Pusat Latihan Kenegaraan Lipis, Pahang.
Program selama tiga hari ini menghimpunkan seramai 75 orang peserta belia dari Zon Pantai Timur merangkumi Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti serta pelajar sekolah. Peserta termuda berusia 18 tahun, membuktikan keterlibatan awal generasi muda dalam latihan kepimpinan.
Tunas Madani 30 merupakan platform pembangunan kepimpinan yang berfokus kepada pengukuhan jati diri, kemahiran komunikasi, kenegaraan serta pembinaan idealisme belia yang progresif dan berprinsip.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Sdr. Saharuddin Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa golongan belia tidak boleh hanya menjadi pemerhati, sebaliknya perlu tampil ke hadapan dan memimpin perubahan.
“Belia hari ini tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, tetapi perlu berani tampil ke hadapan sebagai pemimpin yang beridealisme, berprinsip dan berdaya saing,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, asas kepada kepimpinan belia yang berkualiti ialah nilai, ilmu dan integriti – yang menjadi kunci kepada masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera.
Turut hadir Naib Presiden MBM merangkap Ketua Program Tunas Madani 30, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Penolong Pegawai Belia Akademi Kenegaraan Malaysia, Encik Muhammad Shukri Saidan; Penolong Ketua Penerangan MBM, Sdr. Kishore Kumar dan Presiden TM30 Siri 5, Sdr. Nik Muhamad Shafiq Nik Ismail.
MBM turut merakamkan penghargaan kepada para peserta atas semangat luar biasa yang ditunjukkan sepanjang program serta mengucapkan terima kasih kepada barisan jurulatih dan fasilitator atas komitmen yang tinggi dalam menjayakan siri kali ini.
Siri seterusnya bakal diteruskan di Borneo!














































































