Delegasi Malaysia yang diwakili Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berpeluang membuat pembentangan bertajuk, Priority of Action Plan in Malaysian Youth Development (Keutamaan Pelan Tindakan dalam Pembangunan Belia Malaysia) di hadapan para pemimpin belia dari Asia dan Afrika, ketika menjadi ahli panel pada forum tersebut.

Selain itu, Pengerusi Biro Kesihatan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Dr. Mohamad Erhan Rahman yang juga menyertai delegasi negara turut mengambil bahagian sebagai moderator One Asian Youth Leadership Forum (Forum Kepimpinan Belia 1 Asia) manakala Naib Presiden MBM,  Eric Choo Chung Tiong, menjadi salah seorang ahli panel.

Pada akhir forum yang disertai pelbagai negara selain Malaysia termasuk Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, China, India, Indonesia, Laos, Mongolia, Nepal, Filipina, Korea Selatan, Sri Lanka, Singapura, Vietnam dan Rusia itu,  satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Beijing telah dikeluarkan, yang antara lain menggariskan:

1) Kepentingan akan kesatuan negara Asia dalam membina sebuah peradaban bersama, mendepani impak globalisasi yang melanda.

2) Menyedari kepentingan menggembleng tenaga belia dalam usaha kesukarelawanan merentasi sempadan negara.

3) Mengiktiraf bahawa rantau Asia adalah gagasan negara-negara yang terdiri daripada kepelbagaian/diversiti budaya mahupun susunan nilai moral dan etika yang berbeza, namun menjunjung tinggi nilai peradaban masing-masing dan menjadikan perbezaan ini sebagai satu kekuatan berlandaskan prinsip 1 Asia (One Asia).

4) Menyedari bahawa keamanan dan kesejahteraan adalah tinggi nilainya, tiada apa yang mampu dicapai dirantau ini tanpa keamanan dan kestabilan, justeru menyokong segenap usaha untuk memelihara dan mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di rantau ini.

Program ini turut dihadiri Setiausaha Jawatankuasa Pusat CYLC, Keyong Li  dan Presiden Majlis Belia Asia, Hun Many. Delegasi Malaysia pula diketuai oleh Setiausaha Eksekutif Majlis Belia Asia, Ahmad Azizuddin.

Di samping Forum Kepimpinan Belia 1 Asia, pengisian program lain antaranya Asian African Youth Development Forum, Institutional Visits, Team Building dan Malam Kebudayaan bagi mengenali kebudayaan setiap negara yang menyertai program ini.