KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid telah menerima memorandum daripada Badan Gabungan Majlis Belia Malaysia bersama Majlis Belia Negeri dan Daerah di luar pekarangan Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Memorandum tersebut bagi mendesak penangguhan pelaksanaan diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) itu di mana mereka mencadangkan had umur 35 tahun bagi kepimpinan pertubuhan beliau.
Serahan dikemukakan oleh wakil Jawatankuasa Bertindak Gabungan Pertubuhan Belia Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin mewakili badan-badan gabungan Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah seluruh negara.
Memorandum tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta semua Ahli Parlimen Malaysia.
Menurut memorandum itu, isu had umur bukan sekadar soal teknikal perundangan, sebaliknya menyentuh masa depan kepimpinan generasi muda dan dasar pembangunan belia negara.
Nurul Amin yang juga mewakili Portfolio Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional berkata, beliau sebelum ini telah membangkitkan isu berkenaan kepada Menteri KBS pada sesi soal jawab Parlimen pada 22 Julai lalu.
“Persoalan utama saya, kenapa hanya 10 peratus pertubuhan belia berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah melakukan proses transisi had umur ini sedangkan penguatkuasaan had umur belia akan bermula 1 Januari 2026?” katanya.
Pindaan Akta 668 pada tahun 2019 yang menurunkan had umur belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun dibuat tanpa rundingan menyeluruh bersama Majlis Belia Malaysia serta tidak dibincangkan melalui Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).
Setakat 4 Ogos lalu, hanya 927 daripada 8,233 pertubuhan belia atau sekitar 11 peratus yang telah meminda perlembagaan masing-masing bagi melaksanakan had umur baharu itu.
Gabungan tersebut menegaskan pelaksanaan had umur 30 tahun wajar ditangguhkan sehingga kajian menyeluruh dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.
Mereka turut mencadangkan supaya Akta 668 disemak semula melalui penubuhan Jawatankuasa Khas, termasuk mempertimbangkan semula takrifan umur belia di Malaysia ditetapkan pada lingkungan 15 hingga 35 tahun sebagai jalan tengah.
Dalam memorandum itu juga dinyatakan, sekiranya tuntutan tidak dipenuhi, pihak mereka berpandangan wajar dipertimbang pertukaran kepimpinan tertinggi di Kementerian Belia dan Sukan demi menjamin suara belia didengar serta kepentingan generasi muda dipelihara.
Menurut Nurul Amin, memorandum tersebut akan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri sebagai tanda keseriusan suara belia akar umbi agar kepentingan mereka diambil kira dalam dasar pembangunan negara.
Memorandum itu juga merayu kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen agar mempertimbangkannya secara serius demi masa depan belia Malaysia.
Kehadiran sekitar 300 orang belia memenuhi pekarangan Parlimen hari ini sebagai sokongan terhadap tuntutan tersebut.
Artikel penuh :
https://harakahdaily.net/2025/08/belia-hantar-memo-desak-tangguh-had-umur-30-tahun