KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap Belanjawan 2021 Jumaat ini, akan bersifat adil berlandaskan dasar dan prinsip demokrasi tanpa dipengaruhi kepentingan politik semata-mata.
Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun, berkata pihaknya berharap Belanjawan 2021 dapat dibentang dan dibahas dengan penuh hormat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, paling mustahak ialah peruntukan memperkasa ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang penularan COVID-19 memberi implikasi ketara terhadap ketiga-tiga sektor berkenaan.
“Bagi MBM, Belanjawan 2021 harus mengutamakan penciptaan pekerjaan dan pemacu perkembangan pendapatan, terutama untuk golongan belia.
“Seiring dengan itu, dicadangkan agar pihak kerajaan memperkasakan bidang pertanian dengan memperkenalkan program ‘Ladang Belia’ dengan menggunakan sepenuhnya tanah milik kementerian yang terbiar tanpa penyelenggaraan baik.
“MBM turut mencadangkan agar sektor pendidikan kemahiran diperkembangkan lagi dengan membina atau menambah institusi latihan kemahiran di Borneo melalui bidang bersesuaian dengan pasaran kerja dan perniagaan di sesebuah komuniti terbabit bagi melengkapkan diri dengan kemahiran kerana mendapat permintaan yang tinggi di Borneo.
“Penumpuan utama Belanjawan 2021 pastinya tertumpu kepada sektor kesihatan. Dengan keadaan global yang masih diancam pandemik COVID-19, sektor kesihatan sewajarnya menerima peruntukan besar.
“MBM mencadangkan agar penumpuan juga wajar diberikan kepada aspek kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut saranan untuk sektor ekonomi terutama dalam pertanian, Hasnul Haniff berkata, walaupun bidang berkenaan mungkin dianggap kurang popular, ia mampu melonjakkan ekonomi masyarakat.
Sebab itu, katanya, anak muda harus didorong untuk terbabit dalam pertanian kerana ia ibarat peluang keemasan, selain dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran belia yang mencatatkan 58.2 peratus pada tahun lalu.
“Sektor ini menyumbang sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu 7.2 peratus dan satu-satunya industri berkembang pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Menjelaskan mengenai syor tumpuan Belanjawan bagi sektor pendidikan pula, beliau berkata, bidang kemahiran mempunyai pasaran kerja lebih luas termasuk mendapat permintaan tinggi di Borneo.
Namun, katanya, tawaran tempat disediakan sangat kecil berbeza jika dibandingkan antara di Semenanjung Malaysia dengan Borneo.
“Jadi, MBM berharap kerajaan dapat memberi perhatian khusus agar peruntukan dapat disalurkan supaya anak-anak Sabah dan Sarawak menerima peluang sama,” katanya.
Menyentuh lebih mendalam mengenai syor fokus kesihatan mental dalam ruang lingkup sektor kesihatan dalam pembentangan belanjawan nanti, Hasnul Haniff berkata, ia perlu kerana berdasarkan data pada 2018, 7.3 peratus pelajar sekolah menengah merancang membunuh diri.
“Ketakutan dan kegelisahan terhadap wabak pandemik COVID-19 menambahkan lagi tekanan mental terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling.
“Justeru, adalah wajar sekiranya pihak kerajaan mengambil langkah lebih proaktif dalam membendung situasi ini dengan menggalakkan lagi pemeriksaan saringan kesihatan mental terutama dalam kalangan majikan serta pekerja,” katanya.
Artikel penuh: