KUALA LUMPUR 20 April – Minggu lepas telah berlangsung satu lagi siri bengkel Master Class – Asas Urutan Sukan dan Refleksologi bertempat di Wisma MBM, Bandar Tun Razak.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Rakan Muda melalui segmen Rakan Mahir ini menampilkan Encik Zawawi Abdulah, pemilik D’Bamboo Garden Massage sebagai tenaga pengajar utama.
Peserta telah diberi pendedahan asas dalam urutan sukan dan refleksologi melalui sesi pembelajaran teori dan praktikal serta demonstrasi secara langsung.
Suasana program penuh bertenaga dan mesra, membuktikan bahawa minat dalam bidang urutan kesihatan di kalangan belia semakin meningkat. Peserta turut meluahkan rasa teruja dengan ilmu baru yang diterima serta berharap lebih banyak program kemahiran seperti ini diadakan pada masa akan datang.
Terhad kepada hanya 20 orang belia, program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dan membuka ruang kepada belia untuk mendalami ilmu kemahiran yang berpotensi menjana pendapatan.
MBM komited untuk terus menyediakan platform pembangunan kemahiran kepada golongan belia agar lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Tahniah dan terima kasih kepada semua peserta yang telah hadir dan menjayakan program ini!




