MAJLIS BELIA MALAYSIA

BELAJAR DARI HABIBIE : HIKMAH BUAT ANAK MUDA MALAYSIA

Dunia baru sahaja dikejutkan dengan pemergian satu sosok pemimpin yang signifikan dalam pembangunan agenda reformasi di Indonesia. Ramai maklum bahawasanya Almarhum BJ Habibie merupakan mantan Presiden Republik Indonesia tetapi tidak ramai yang menyorot sejarah sebelum beliau diangkat sebagai seorang pemimpin negara. 

Hanya dengan tempoh singkat 17 bulan sebagai individu nombor satu sebuah negara yang mempunyai sejarah dan ekonomi budaya yang luas di rantau ini. Almarhum Habibie mengajar kita tentang satu butiran penting kehidupan, terutamanya kepada belia-belia di Malaysia. Yang pertama, kronologi kebaktian kepada negara harus dimulakan tidak kira dalam posisi apapun kita berada. Hal ini dibuktikan, walaupun beliau melanjutkan pengajian di luar negara, beliau masih lagi aktif membangun ideologi dan semangat patriotik dengan menggerak Persatuan Pelajar Indonesia di Jerman. 

Seterusnya budaya membaca dan menulis beliau adalah sesuatu yang unik dan perlu diteladani. Bayangkan sebagai seorang tokoh, walaupun dengan kesibukan-kesibukan norma bagi seorang pemimpin negara, beliau masih mampu memperuntukkan hampir lima hingga tujuh jam sehari untuk membaca dan menulis. Nah, ini merupakan laskar yang wajib belia-belia serap dan komited untuk membina rangka pemikiran yang tinggi dan percaya dengan daya fikir dan daya kontribusi adalah seiring. 

Saya berpeluang untuk berkunjung ke kediaman beliau pada tahun 2015. Secara jujurnya, sebagai seorang anak muda yang masih miskin keinginan dalam berasosiasi dengan buku, kunjungan ke perpustakaan BJ Habibie membuatkan saya mahu untuk turut memiliki perpustakaan seperti beliau. Adapun wujud nota-nota pesimis yang menyatakan budaya membeli buku rakyat Malaysia masih belum selari dengan budaya membaca buku, saya fikir kita masih perlu meraikan budaya positif ini dalam keinginan belia untuk mengumpul bahan rujukan. 

Semangat Demokrasi Eyang Habibie: Merubah Dengan Polisi, Memerintah Dengan Kasih Sayang

Dalam ruang di mana kebanyakan negara mengalami kemelut ekonomi kini, suka untuk saya kongsikan kaedah pentadbiran yang dibawa oleh Almarhum BJ Habibie. Ketika beliau menakhoda Persatuan Pelajar Indonesia di Aachen, walaupun berlaku sedikit perbezaan pendapat antara beliau dan pimpinan yang lain, tetap juga dihadiri program yang dianjurkan atas nama setiakawan dan semangat sebagai satu pasukan. Dan ini tercatit dalam Rudy: Kisah Masa Muda Sang Visioner bagaimana konflik yang berlaku ketika diusulkan idea Seminar Pembangunan dan tuduhan serta dakwaan bahawasanya BJ Habibie ini adalah seorang pengkhianat negara. Jelas, beliau telah pun membuktikan yang beliau bukan sahaja berani tampil dengan program yang bervisi, tetapi juga merealisasikan visi di tanah air sendiri.

Tuntas, saya ingin belia-belia di Malaysia agar berani turut menyemangati semangat yang sama. Harus wujud kumpulan yang dominan dalam keterangkuman idea dan menyemarakkan kebebasan bersuara demi kebaikan belia dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Dan ini, wajarnya digandingkan dengan tanggungjawab untuk memelihara keharmonian dan menjunjung tinggi aspirasi negara. Pesan saya kepada pemimpin-pemimpin negara juga, jangan bunuh Habibie-Habibie Malaysia yang berbunyi sedikit melawan arus tetapi hakikatnya cinta mereka kepada bangsa dan tanah air ini akan membuahkan bakti dan jasa yang sangat bernilai. 

‘ATIQAH SYAIRAH BT SHAHARUDDIN

Penolong Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 27 September 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »