Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkenalkan inisiatif deposit Madani dengan nilai maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah pertama merupakan satu langkah yang sangat positif dan strategik terutamanya dalam konteks membantu golongan belia memiliki rumah pertama mereka.
Inisiatif ini membuktikan negara kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju lain seperti Canada, United Kingdom dan Australia yang memberikan inisiatif seumpama ini.
Dari sudut ekonomi pula, inisiatif ini mampu memberi impak yang signifikan terhadap kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia. Menurut statistik terkini dari Bank Negara Malaysia, kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah dengan anggaran sekitar 35%. Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini adalah kos permulaan yang tinggi, termasuk deposit pembelian rumah.
Dengan menyediakan bantuan deposit sehingga RM30,000, inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama. Ini akan meningkatkan kemampuan belia untuk membeli rumah seterusnya membantu mengurangkan jurang pemilikan rumah yang wujud antara golongan belia dan kumpulan umur lain.
Selain itu, dari segi ekonomi makro, inisiatif ini juga dijangka dapat merancakkan lagi pasaran hartanah negara dengan meningkatkan permintaan terhadap rumah. Peningkatan ini boleh memberi kesan positif kepada industri pembinaan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pembinaan menyumbang sekitar 4.7% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023 dan sebarang peningkatan dalam sektor ini akan memberi impak positif kepada ekonomi keseluruhannya.
Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan agar inisiatif ini tidak hanya terbuka kepada pembeli rumah baru tetapi juga terbuka untuk pembeli rumah dalam kategori rumah terpakai atau ‘subsale’, di mana harganya lebih murah dan mampu milik. Ianya bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli dalam proses memiliki rumah lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.
Namun, keberkesanan inisiatif ini memerlukan pelaksanaan yang teliti dan menyeluruh termasuk pemantauan rapi untuk memastikan golongan sasaran iaitu pembeli rumah pertama yang layak, benar-benar mendapat manfaatnya. Terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa inisiatif ini tidak menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak yang boleh membebankan pembeli.
MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID
PRESIDEN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh : 22 Ogos 2024