KUANTAN: Tanggungjawab membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa bukan lagi hak eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tapi turut menjadi peranan orang awam.
Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Fauzi Husin, berkata walaupun SPRM berperanan khusus dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan isu rasuah di negara ini, namun ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik tanpa bantuan serta kesedaran masyarakat keseluruhannya.
“Amanah ini adalah sangat berat dan pastinya sukar diterjemahkan tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak.
“Sesungguhnya sokongan dan kerjasama anda semua (orang awam) menjadi pembakar semangat kepada SPRM untuk terus melaksanakan tugas tanpa rasa gentar atau takut dalam menghadapi apa sahaja halangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Walk About Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat negeri di Kompleks SPRM Pahang, di sini, hari ini.
Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa bertemakan ‘Bersama Perangi Rasuah’ diadakan serentak di seluruh negara hari ini.
Kira-kira 200 sukarelawan dari Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej Universiti Yayasan Pahang (KUYP) dan Majlis Belia Pahang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Mohamad Fauzi berkata, fokus barisan pimpinan baharu SPRM ketika ini adalah membersihkan agensi awam daripada terbabit dalam jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan selain tindakan penguatkuasaan melalui hukuman penjara dan denda.
Katanya, SPRM juga memberi fokus kepada tindakan pelucuthakan harta yang diperoleh melalui amalan rasuah dilakukan pesalah bagi memastikan jenayah itu dapat dibanteras dengan lebih berkesan.
“Kita (SPRM) percaya, pendekatan ini dapat mendatangkan rasa gerun kepada mereka (pelaku rasuah) yang berangan-angan untuk terbabit dalam jenayah rasuah atau mereka yang sudah terbabit dengan jenayah ini tetapi masih belum ditahan,” katanya.