MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bangsa Sukarelawan

Misi Bantuan Banjir Majlis Belia Malaysia dan Global Peace Mission Malaysia

Oleh :

Mohd Rosidi Hj Hassan

Timbalan Pengerusi Tetap MBM /

Pengerusi Majlis Belia Daerah Bera

PELBAGAI bangsa di dunia mempunyai gelaran tersendiri bagi kerja-kerja sukarelawan. Di Filipina disebut “baranguay”, di Perancis disebut “volontariat” atau “bénévolat”, di Indonesia dan Malaysia dipanggil kerja “gotong-royong”, di Kenya “harambee”, di India “shramadana”, dan di kebanyakan negara Arab dipanggil sebagai “Al Taawun Wal Tawasul”.

Apapun gelaran yang diberikan, kerja-kerja ini semuanya membawa maksud yang satu iaitu membantu sesama makhluk untuk memperolehi kehidupan yang lebih baik, harmoni dan sejahtera.

Kerja-kerja sukarelawan sangat diiktiraf di peringkat dunia. Para sukarelawan dibantu dan disokong penuh oleh kerajaan dan pihak swasta bagi membolehkan mereka melakukan tugasan sukarelawan tanpa rasa bimbang.

Di Malaysia juga banyak Sukarelawan yang bernaung dibawah pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan salah satunya adalah Majlis Belia Malaysia (MBM) yang merupakan badan induk pertubuhan belia di negara ini. MBM tidak pernah lena daripada melakukan kerja-kerja sukarela sama ada untuk belia dibawah umur 40 tahun mahupun kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.

MBM harus disokong dan dibantu untuk terus mempelopori dan mempromosi kerja-kerja sukarela ini agar ianya menjadi satu budaya kepada rakyat kita bahawa tolong menolong, bantu membantu, gotong royong dan seumpanya adalah satu amalan mulia, terpuji dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

Baru-baru ini MBM telah turun ke daerah Bera, Pahang yang merupakan salah satu lokasi terjejas banjir bersama rakan mobilisasi Global Peace Malaysia (GPM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan dan sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pasukan misi bantuan ini disambut dan dipandu oleh Setiausaha Agung Majlis Belia Daerah Bera, Sdr. Mohamad Hamzan Mohamad bagi menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah ini.

Terima kasih diucapkan bagi pihak Majlis Belia Daerah Bera dan warga Bera keseluruhannya. Ketika kita memerlukan mereka hadir menghulur bantuan. Jika mereka pula memerlukan, insya Allah belia Bera sedia menghulur tangan meringankan beban untuk mereka pula.

Bertarikh : 6 Februari 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »