Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha menjelaskan, pihaknya sendiri juga penat menyaksikan senario politik semasa negara, oleh itu terdapat mesej jelas daripada anak muda sekiranya terdapat gerakan wadah politik baharu berteraskan orang muda diwujudkan.

“Satu mesej sahaja yang cuba disampaikan oleh ahli politik muda ini, bahawa anak muda sudah muak dengan politik semasa ini, jadi mereka mengharapkan satu politik baharu yang dipimpin oleh golongan muda.

“MBM sudah letih dengan senario politik semasa jadi ini mungkin ini manifestasi bahawa anak muda mahukan politik baharu. Walaupun kerajaan bertukar namun budaya dan aspirasi baharu seperti tidak dibawa sedangkan sebahagian anak muda inilah yang menentukan pertukaran kerajaan yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MBM di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dipercayai sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda.

Spekulasi tersebut juga semakin kuat kedengaran selepas ketiga-tiga mereka dilihat semakin akrab berkongsi pandangan menerusi pertemuan, serta komen balas sesama mereka di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.

Sementara itu, tambah Jufitri, MBM menyambut baik penubuhan wadah politik baharu itu sekiranya benar-benar membawa aspirasi anak muda.

“MBM tiada halangan mengenainya dan saya yakin akan dapat sambutan..tapi mustahil, saya tak yakin mereka akan tubuhkan parti baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE