Kuala Lumpur – Majlis Belia Malaysia berharap kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan luar termasuk gesaan daripada Kedutaan Amerika Syarikat supaya memansuhkan Akta Hasutan 1948 namun menyelesaikannya dengan cara sendiri.
Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee nerkata, pihaknya menghormati pandangan yang diberikan oleh Kedutaan Amerika Syarikat, namun ia perlu mengambil kira pelbagai lagi pandangan pihak lain serta situasi semasa.
“Setiap negara mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan apa-apa isu atau masalah dalaman negara berkenaan dan sudah tentu Malaysia juga mempunyai kaedah tersendiri menanganinya mengikut konteks negara ini.
“Kedutaan itu sepatutnya lebih berhati-hati dan tahu batasan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mendesak negara melakukan sesuatu terhadap Akta Hasutan 1948,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, Kedutaan Amerika Syarikat sepatutnya tidak harus campur tangan dalam urusan pentadbiran dalaman negara ini dengan mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan mereka tentang penggunaan undang-undang hasutan dan hak asasi manusia di Malaysia.
Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan menggesa supaya kerajaan memenuhi komitmen supaya memansuhkan akta itu selepas diplomatnya menyertai Perarakan Keamanan dan Kebebasan anjuran Majlis Peguam di Parlimen kelmarin.