Putrajaya, 15 Mei 2014 – YAB Dato Seri Najib Razak menggariskan enam kriteria asas, berteraskan 6K bagi mempersiapkan belia dengan segala keperluan untuk menghadapi cabaran peringkat global.
Perdana Menteri berkata, kriteria keilmuan dan kemahiran; keusahawanan ; kesederhanaan atau wasatiyyah; kesukarelaan; kecintaan kepada negara serta kerohanian, adalah ciri penting yang harus dimiliki supaya belia mampu memainkan peranan lebih besar di luar negara, seiring dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Insentif tambahan
“Sehubungan itu, kerajaan meluluskan insentif tambahan RM1.5 juta kepa Majlis Belia Malaysia (MBM), antara lain bagi menubuhkan Sekretariat Komuniti ASEAN dalam kalangan belia serantau,” katanya.
Beliau berucap demikian pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2014 dan penyampaian Anugerah Perdana Belia dan Negara 2014, di sini. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin serta Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Perdana Menteri berkata, abad ini adalah kurun keilmuan dan kemahiran di mana kekayaan tidak hanya bergantung kepada bahan mentah seperti petrolium atau sawit, sekaligus memerlukan belia mempunyai kreativiti serta inovasi selain menguasai keupayaan intelek untuk maju.
“Makmal kos sara hidup”
Memperincikan aspek 6K, beliau berkata, budaya keusahawanan bagi meningkatkan daya saing untuk menjana pembangunan negara, kesederhanaan atau wasatiyyah pula asas menjauhi fahaman ekstrim yang memudaratkan negara, manakala kesukarelaan sebahagian daripada gerak kerja belia yang meliputi kegiatan berpersatuan dan kepemimpinan pertubuhan.
Kecintaan kepada negara pula, katanya, mewujudkan semangat patriotisme yang tidak mudah dipengaruhi anashir jahat, manakala aspek kerohanian seperti jujur, amanah, ikhlas, bertanggungjawab dan boleh dipercayai.
Sementara itu, bagi membantu belia yang dihimpit peningkatan kos sara hidup, najib berkata, kerajaan menubuhkan ‘Makmal Kos Sara Hidup’ yang diketuai Khairy Jamaluddi bagi membantu generasi itu dan rakyat yang miskin, samada di bandar atau desa.